KUALA LUMPUR – Kementerian Pertahanan (Mindef) memberi jaminan jadual penyerahan kapal tempur pesisir (LCS) pertama kepada Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kekal mengikut perancangan asal iaitu pada penghujung tahun ini meskipun berdepan beberapa kekangan berkaitan persenjataan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, konflik geopolitik di Asia Barat tidak mengubah sasaran penyerahan kapal berkenaan yang telah ditetapkan kerajaan.
“Kita kekal dengan jadual asal. Walaupun terdapat beberapa kekangan dari segi persenjataan, persenjataan sedia ada juga mempunyai keupayaan untuk membolehkan LCS diserahkan mengikut jadual asal, iaitu pada penghujung tahun ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) yang meminta penjelasan sama ada konflik di Timur Tengah menjejaskan jadual penyerahan LCS serta perolehan radar baharu negara.
Mengulas cadangan menggubal pelan induk kemandirian industri pertahanan negara, Adly berkata, kerajaan sememangnya sedang melaksanakan Dasar Industri Pertahanan Negara yang memberi tumpuan kepada pembangunan keupayaan industri tempatan.
Menurutnya, ketika ini industri pertahanan negara banyak tertumpu kepada aktiviti penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO), namun kerajaan mahu memperluaskan pembangunan kepada sektor berteknologi tinggi termasuk satelit, dron dan sistem pertahanan lain.
“Kita tahu negara mempunyai keupayaan itu. Namun pada masa sama, kerjasama kerajaan dengan kerajaan (G2G) juga penting bagi membolehkan pemindahan teknologi dan pengetahuan yang dapat mempercepat pembangunan industri pertahanan negara,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan turut memperkukuh keupayaan sistem radar negara menerusi perolehan baharu bagi memastikan pemantauan di Laut Sulu, Laut China Selatan dan Selat Melaka terus dipertingkat.
Katanya, sistem radar merupakan antara aset strategik yang penting bagi memastikan pengawasan sempadan, keselamatan serta kedaulatan negara sentiasa berada pada tahap terbaik.
Dewan Rakyat minggu lalu diberitahu proses LCS mencatatkan pencapaian 78.1 peratus sehingga 31 Mei berbanding sasaran perancangan yang ditetapkan, iaitu 85.21 peratus dengan perbezaan 7.11 peratus. – MalaysiaGazette
















