Ab Rauf Yusoh

 

MELAKA – Kemenangan besar Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai bukti kematangan politik rakyat negeri itu yang tidak lagi mudah terpengaruh dengan politik kebencian, hasutan dan fitnah.

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, keputusan tersebut memperlihatkan pengundi Johor membuat penilaian berdasarkan prestasi pentadbiran kerajaan, bukannya sentimen politik yang memecahbelahkan masyarakat.

Menurut beliau, semua parti sebelum ini mempunyai keyakinan masing-masing untuk menawan Johor, namun keputusan akhir membuktikan rakyat memilih pendekatan berbeza.

“Johor telah menunjukkan satu manifestasi rakyat yang di luar jangka ketika semua parti politik berkeyakinan mereka mampu menawan Johor dengan cara masing-masing.

“Tetapi hasil keputusan pilihan raya menunjukkan sebaliknya kerana pentas politik demokrasi yang ditunjukkan oleh rakyat Johor telah berpindah kepada kematangan politik yang jauh daripada politik kebencian.

“Politik hasutan tidak dimakan oleh rakyat Johor,” katanya pada sidang media selepas Persidangan Kedua, Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Melaka Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ab Rauf yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri berkata, keputusan itu wajar dijadikan iktibar kepada semua pihak termasuk di Melaka supaya persaingan politik lebih tertumpu kepada rekod pencapaian dan hasil kerja kerajaan.

“Saya mengharapkan pentas politik demokrasi di Melaka juga melihat hasil kerja kita, bukan hasil daripada fitnah, hasutan dan kebencian yang tidak memberikan pulangan yang baik kepada keharmonian rakyat Melaka,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin pelbagai pencapaian yang direkodkan dalam aspek ekonomi, pelancongan, pelaburan dan kesejahteraan rakyat mampu menjadi asas penilaian pengundi pada masa akan datang.

“Saya yakin rakyat Melaka telah berada pada satu tahap yang juga melihat bahawa hasil kerja daripada kerajaan sedia ada memberikan pulangan yang baik kepada sektor ekonomi, pelancongan, pelaburan dan juga keharmonian rakyat Melaka.

“Kita harap rakyat Melaka boleh menilai seperti mana rakyat Johor menilai prestasi kerajaannya,” katanya.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata, penyebaran fitnah dan politik kebencian terutama menerusi media sosial dilihat semakin kurang memberi kesan apabila rakyat lebih cenderung menilai berdasarkan pengalaman mereka sendiri terhadap pentadbiran kerajaan.

“Siapa datang membawa fitnah, hasutan dan kebencian ini, mereka tidak layak kerana rakyat tahu hasilnya.

“Selama saya memimpin pun saya tidak pernah meletakkan politik kebencian terhadap mereka yang tidak sehaluan dengan kita. Kita buat kerja kita,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast