Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar

KUALA LUMPUR – Beberapa jalan utama akan ditutup dan dibuat lencongan trafik secara berperingkat sempena penganjuran Allianz Duo Highway Challenge 2026 edisi kelapan pada 2 Ogos ini.

Ia turut membabitkan Lebuh Raya Besraya (E9) dan Lebuh Raya Pantai Baru (NPE/E10).

Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, acara larian itu melibatkan penggunaan dua lebuh raya utama dengan kategori 42 kilometer merentasi Selangor dan Kuala Lumpur.

Menurutnya, di bahagian Selangor, sebanyak 21 simpang akan terlibat dengan kawalan trafik, manakala di Kuala Lumpur melibatkan 24 simpang.

“Bagi memastikan keselamatan peserta dan kelancaran aliran trafik sepanjang acara berlangsung, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan menggerakkan anggota secara menyeluruh.

“Kontinjen Selangor akan menugaskan lapan pegawai kanan bersama 67 pegawai rendah, manakala Kontinjen Kuala Lumpur melibatkan enam pegawai kanan dan 65 pegawai rendah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, penutupan laluan dan simpang di sepanjang Lebuhraya NPE akan dilaksanakan mengikut pelan kawalan trafik yang telah ditetapkan.

Antara lokasi utama yang terlibat di Selangor ialah kawasan Sunway membabitkan susur Caltex, Sunway Clio, susur CP4, Lagoon Timur dan pintu gerbang Sunway.

Selain itu, kawasan Maju Jaya melibatkan U-Turn Maju Jaya, Maju Jaya arah selatan dan utara serta susur Mentari, manakala lokasi lain termasuk Persimpangan Taman Medan, susur PJCC dan susur Templer.

Menurut beliau lagi, kawalan di semua lokasi berkenaan akan diperkukuhkan dengan pemasangan penghadang plastik, papan tanda amaran sementara (TMP) serta kehadiran petugas bendera bagi memastikan keselamatan pengguna jalan raya dan peserta larian.

Sehubungan itu, pengguna jalan raya disaran menggunakan laluan alternatif sepanjang tempoh penutupan.

Penduduk di kawasan PJS 8, PJS 10 dan PJS 12 dicadangkan menggunakan laluan ke arah FHR2 dan LDP, manakala penduduk PJS 9, PJS 11, PJS 13, LDP serta Sunway disaran melalui laluan menuju KESAS dan USJ.

Orang ramai juga diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan petugas trafik yang bertugas di lapangan bagi memastikan kelancaran perjalanan dan keselamatan semua pihak sepanjang penganjuran acara tersebut. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast