Kompleks Mahkamah Kota Kinabalu, Sabah. Foto FAREEZ FADZI

KOTA KINABALU – Mahkamah Koroner di sini diberitahu saksi ke-76 dalam prosiding inkues kematian Zara Qairina Mahathir tidak berdaftar sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersepadu 2016.

Dr Noor Aishah Rosli, 51, hanya berdaftar di bawah Lembaga Kaunselor dan kelayakan dari sudut akademik serta klinikal dalam bidang psikologi klinikal kanak-kanak bagi menyediakan laporan autopsi psikologi Zara Qairina.

Pegawai Pengendali Inkues Nahra Dollah berkata setakat ini tiada keterangan yang membuktikan saksi berkenaan berdaftar sebagai pakar psikologi klinikal kanak-kanak, sebaliknya hanya sebagai kaunselor berdaftar.

Beliau turut menegaskan gelaran pakar psikologi klinikal kanak-kanak perlu didaftarkan di bawah Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 dan perkara itu penting dalam prosiding inkues berkenaan.

Noor Aishah, yang memberi keterangan pada hari kedua, mengakui di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan beliau tidak mendaftar di bawah akta berkenaan tetapi mengguna pakai pendaftaran menerusi Lembaga Kaunselor dan mempunyai lesen latihan klinikal psikologi daripada Amerika Syarikat.

Beliau turut memaklumkan di bawah Lembaga Kaunselor, ahli dibolehkan praktis dan kenyataan serta penilaian mengenai kanak-kanak dan remaja digunakan di mahkamah.

Nahra: Sehingga hari ini kita tidak ada bukti doktor adalah pakar psikologi pakar kanak-kanak yang berdaftar… Confirm ya doktor bukan seorang pakar psikologi kanak-kanak yang berdaftar di bawah akta tersebut?

Noor Aishah: Saya tidak mendaftar dengan itu, tetapi saya guna pakai pendaftaran Lembaga Kaunselor.

Nahra, bagaimanapun menjelaskan adalah menjadi satu kesalahan menggunakan jawatan ahli psikologi klinikal kanak-kanak tanpa pendaftaran di bawah akta tersebut.

Peguam Shahlan Jufri yang mewakili ibu Zara Qairina, kemudian membantah soalan dikemukakan Nahra kepada Noor Aishah kerana percaya saksi tidak dapat menjawab isu berkaitan dengan undang-undang.

Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas dia ditemukan tidak sedarkan diri di dalam longkang berhampiran asrama sekolahnya pada kira-kira 4 pagi.

Prosiding inkues bersambung petang ini.- BERNAMA

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast