KUALA LUMPUR – Larangan penggunaan jentera dan sumber kerajaan untuk berkempen semasa pilihan raya antara perkara yang perlu segera dimasukkan ke bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (AKPR).
Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) – Integriti, Governans dan Antirasuah (IGAR) menegaskan, pindaan AKPR perlu segera dilaksanakan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Ketuaya, Ahli KRPPM-IGAR, Azli Yusof (PH-Shah Alam) berkata, ketiadaan peruntukan undang-undang yang jelas ketika ini membuka ruang kepada parti yang menerajui kerajaan negeri atau Persekutuan menggunakan jentera dan sumber kerajaan secara langsung atau tidak langsung untuk berkempen.
Menurutnya, tindakan itu boleh mewujudkan medan persaingan politik yang tidak seimbang dan menjejaskan integriti proses pilihan raya.
“Jentera dan sumber kerajaan adalah dana daripada rakyat dan tidak seharusnya digunakan untuk kepentingan mana-mana pihak bagi mewujudkan medan politik yang tidak sama rata ketika pilihan raya,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.
Hadir pada sidang media itu Datuk Mas Ermieyati Samsudin (PN-Masjid Tanah), Young Syefura Othman (PH-Bentong) dan Ahli Dewan Negara, Prof Emeritus Datuk Seri Dr Awang Sariyan.
Azli berkata, KRPPM-IGAR yang dianggotai 13 Ahli Dewan Rakyat dan Dewan Negara turut menggesa kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) diperkukuhkan bagi membolehkan badan itu menguatkuasakan undang-undang pilihan raya dengan lebih berkesan.
Beliau mencadangkan, SPR diberi kuasa untuk mengeluarkan kompaun terhadap kesalahan tertentu, termasuk berkempen pada hari pengundian dan kegagalan menurunkan bahan kempen, termasuk kandungan yang dimuat naik di media sosial.
Dalam pada itu, beliau turut mendesak kerajaan menyahklasifikasikan laporan Jawatankuasa Penambahbaikan Sistem dan Undang-Undang Pilihan Raya (ERC) bagi membolehkan rakyat, wakil rakyat serta pakar undang-undang dan pilihan raya meneliti serta membahaskan syor yang dikemukakan.
Katanya, langkah itu penting untuk membuka ruang kepada perbincangan lebih menyeluruh mengenai reformasi sistem pilihan raya negara, termasuk cadangan pelaksanaan Sistem Perwakilan Berkadaran, Sistem Perwakilan Berkadar Campuran atau model lain yang lebih sesuai bagi meningkatkan keterwakilan suara rakyat di Dewan Rakyat. – MalaysiaGazette
















