GEORGE TOWN – Seorang saksi mendakwa sempat mendengar jeritan meminta pertolongan selama beberapa minit sebelum suara itu tiba-tiba senyap dalam kejadian seorang pemancing dipercayai terjatuh ke laut di Jambatan Pulau Pinang, hari ini.
Saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Ismail berkata, dia sedang memancing berhampiran Jambatan Pulau Pinang sebelum terdengar suara seseorang menjerit meminta pertolongan kira-kira jam 6.15 pagi.
Menurutnya, ketika itu keadaan tidak hujan namun arus laut agak kuat selain jarak penglihatan yang terhad kerana suasana masih gelap.
“Saya dengar orang jerit minta tolong. Dari jauh saya nampak macam kepala mangsa timbul tenggelam sambil meminta bantuan, namun lima minit kemudian terus senyap.
“Saya bersama rakan kemudian menyalakan lampu kecemasan (SOS), manakala sebuah bot nelayan yang berada berhampiran turut membantu melakukan pencarian, namun mangsa gagal ditemui.
“Kami kemudian menghubungi talian 999 sebelum panggilan disambungkan kepada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Ismail, dia dimaklumkan ketika kejadian mangsa dikatakan sedang memancing bersama beberapa rakannya di tiang nombor lima jambatan tersebut,
“Saya tidak dapat mengesahkan punca sebenar mangsa terjatuh ke laut, namun dia dikatakan tergelincir ketika hendak mengambil wuduk.
ARTIKEL BERKAITAN
Lelaki dikhuatiri lemas terjatuh ketika memancing di Jambatan P.Pinang
Terdahulu, MalaysiaGazette melaporkan Abdul Ghani Mohsin,39, dikhuatiri lemas selepas dipercayai terjatuh ke laut ketika memancing di tiang nombor lima Jambatan Pulau Pinang arah pulau menghala Perai.
Pengarah Maritim Pulau Pinang, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, operasi SAR diperkasakan dengan penglibatan aset bot peronda daripada agensi merangkumi Pasukan Polis Marin (PPM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
“Selain itu, bantuan aset dron daripada pihak APM turut digerakkan bagi memperluas skop pencarian dan memantapkan proses pengesanan mangsa.
“Sektor pencarian kini difokuskan di sekitar kawasan Jambatan Pertama Pulau Pinang dengan tumpuan khusus diberikan pada kedudukan terakhir mangsa dilaporkan terjatuh.
“Kita mempergiat usaha menyelamat dan akan memaklumkan perkembangan terkini operasi dari semasa ke semasa,” katanya. – MalaysiaGazette
















