Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) bersama Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (kanan) dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Dr Radzi Jidin ketika sidang media khas Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia di Ibu Pejabat BERSATU, Petaling Jaya. Foto MUHAIMIN MARWAN, 15 Julai 2026.

PETALING JAYA – Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mengesahkan akan bertanding menggunakan simbol parti sendiri pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Ini selepas dakwaan Pas mengadakan rundingan politik dengan Barisan Nasional (BN) tanpa persetujuan Perikatan Nasional (PN).

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu dipersetujui Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu yang bermesyuarat malam ini selepas rundingan pembahagian kerusi PN bagi PRN Negeri Sembilan gagal dimuktamadkan.

Beliau berkata, Bersatu kesal dengan tindakan Pas mengadakan rundingan dengan BN tanpa melibatkan semua parti komponen PN serta tanpa mendapat persetujuan Majlis Tertinggi PN.

Menurutnya, kegagalan Pengerusi PN memanggil Mesyuarat Majlis Tertinggi bagi menentukan dasar dan hala tuju gabungan ketika berdepan PRN Negeri Sembilan amat dikesali, malah bercanggah dengan Perlembagaan PN.

“Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Kerusi PN juga ditangguhkan tanpa tarikh baharu untuk memuktamadkan pembahagian kerusi antara parti-parti anggota,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas selepas mempengerusikan Mesyuarat MPT Bersatu di sini, malam ini.

Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, Bersatu akan meletakkan calon-calonnya sendiri pada PRN Negeri Sembilan dan kesemua mereka akan menggunakan simbol Bersatu.

Beliau berkata, MPT Bersatu turut memberi mandat kepadanya untuk membenarkan calon daripada parti politik lain menggunakan simbol Bersatu pada pilihan raya itu.

Muhyiddin turut melahirkan rasa kecewa terhadap beberapa keputusan yang dibuat secara unilateral oleh Pas.

Antaranya termasuk kenyataan pemimpinnya yang menurut beliau memberi kemenangan kepada BN pada PRN Johor sebelum ini dan kini di Negeri Sembilan.

Menurutnya, tindakan itu tidak pernah dipersetujui Majlis Tertinggi PN dan bertentangan dengan kepentingan PN sebagai gabungan politik yang menawarkan alternatif kepada BN dan Pakatan Harapan (PH).

Beliau menegaskan Bersatu akan terus berpegang kepada pendekatan sederhana dan progresif, selain menyeru pengundi di Negeri Sembilan memberi sokongan kepada calon-calon Bersatu pada PRN berkenaan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast