KUALA LUMPUR – Keputusan penting Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak lagi bergantung kepada seorang individu, sebaliknya dibuat melalui sistem semak dan imbang yang lebih kukuh, telus dan kolektif.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, perubahan itu dilaksanakan menerusi 16 reformasi tatakelola dan tadbir urus hasil Kajian Kebolehlaksanaan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 oleh Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).
“Pendekatan reformasi ini bertujuan mengubah budaya kerja daripada model keputusan berasaskan individu yang sebelum ini banyak tertumpu kepada kuasa Datuk Bandar, kepada model berteraskan tadbir urus baik, keputusan secara kolektif dan integriti,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Tan Kok Wai (PH-Cheras) pada sesi pertanyaan-pertanyaan menteri di Dewan Rakyat hari ini.
Antara pembaharuan utama ialah pemansuhan Jawatankuasa Pusat Setempat Khas atau OSC Khas bagi memastikan pengasingan kuasa serta mengelakkan campur tangan dalam proses dan keputusan pembangunan.
Portal OSC 3.0 Plus turut dibuka bagi membolehkan Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur mengakses maklumat permohonan pembangunan di kawasan masing-masing dan mengemukakan pandangan sebelum sesuatu keputusan dibuat.
Hannah berkata, kuasa Datuk Bandar untuk meluluskan sumbangan kini dihadkan kepada maksimum RM3,000 manakala, permohonan melebihi jumlah itu perlu dibawa ke mesyuarat jawatankuasa pengurusan tertinggi untuk dipertimbangkan secara kolektif.
Tambah Hannah, DBKL turut menubuhkan lima Jawatankuasa Pemantauan Belanjawan yang dipengerusikan oleh Ahli-ahli Parlimen Kuala Lumpur serta memperkenalkan mesyuarat konsultasi yang dipengerusikan bersama oleh Pengarah Eksekutif DBKL dan Ahli Parlimen.
Peranan Lembaga Penasihat Bandaraya Kuala Lumpur juga diperkasa melalui Jawatankuasa Sumbangan, Jawatankuasa Audit serta Jawatankuasa Tatakelola dan Integriti bagi mengurangkan konflik kepentingan dan memperkukuh pengawasan institusi.
Hannah berkata Jawatankuasa Audit DBKL yang sebelum ini dipengerusikan oleh Datuk Bandar kini tidak lagi dipengerusikan oleh pihak yang sama mengetuai pentadbiran DBKL.
“Keputusan penting DBKL tidak lagi bergantung kepada seorang individu, tetapi melalui sistem semak dan imbang yang lebih kukuh,” katanya.
Hannah berkata pusingan kerja turut dilaksanakan bagi pegawai lapangan dan mereka yang memegang jawatan sensitif untuk mengurangkan risiko ancaman keakraban, manakala penggunaan kamera badan oleh pegawai penguat kuasa akan diperluas secara berfasa mulai suku keempat 2026.
Dalam aspek penyampaian perkhidmatan, sebanyak 170 perkhidmatan DBKL telah tersedia secara dalam talian setakat Julai, dengan sasaran 180 perkhidmatan secara hujung ke hujung menjelang akhir tahun.
Bagi permohonan pembangunan yang bercanggah dengan Pelan Tempatan Kuala Lumpur 2040, proses pendengaran awam di bawah Kaedah 3 akan dilaksanakan bagi mendapatkan pandangan penduduk dan pihak berkepentingan.
Hannah berkata proses konsultasi mungkin mengambil masa lebih panjang, namun pendekatan itu perlu bagi memastikan pembangunan bandar tidak diputuskan secara tertutup atau tergesa-gesa.
“Ini ialah cara pentadbiran baharu yang melibatkan penduduk dan pihak berkepentingan sebelum sesuatu keputusan dibuat,” katanya.
Beliau berkata matlamat reformasi itu adalah untuk menjadikan DBKL sebuah pihak berkuasa tempatan yang lebih telus, berintegriti, responsif dan boleh dipertanggungjawabkan kepada rakyat. – MalaysiaGazette
















