Ahmad Amin Khairul Komar diiringi anggota SPRM selepas dijatuhi hukuman penjara di Mahkamah Sesyen Kuantan.

KUANTAN – Seorang polis trafik berpangkat koperal dijatuhi hukuman penjara empat bulan selepas didapati bersalah diatas empat pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,000 di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

Hakim Sazlina Safie menyampaikan keputusan itu terhadap Ahmad Amin Khairul Komar, 42, setelah meneliti dan berpuas hati dengan hujahan pihak pendakwaan serta pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara empat bulan bagi setiap pertuduhan dan memerintahkan semua hukuman itu berjalan serentak bermula hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa atas empat pertuduhan menerima keseluruhan berjumlah RM1,000 melalui pindahan wang secara dalam talian ke dalam akaun isterinya daripada seorang individu antara 3 Oktober 2017 dan 2 Mac 2018.

Berikutan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ezuain Farhana Ahmad manakala tertuduh diwakili peguam, Melissa Sukri.

Sejurus keputusan dibacakan, Melissa memohon penangguhan hukuman itu terhadap anak guamnya itu bagi mengemukakan rayuan di Mahkamah Tinggi.

Meskipun dibantah Ezuain Farhana, Hakim Sazlina memutuskan untuk membenarkan permohonan tertuduh untuk menangguhkan hukuman penjara.

Selain itu, Sazlina turut mengarahkan tertuduh membayar tambahan RM3,000 terhadap wang ikat jamin sebelum ini dengan seorang penjamin dan pasport antarabangsa disimpan mahkamah  sehingga kes selesai. – MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Polis trafik dituduh terima rasuah RM1,000

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast