Ir. Razali mendengar taklimat serta demonstrasi pemeriksaan sampel menggunakan mikroskop yang memberi gambaran jelas mengenai proses diagnosis penyakit kusta serta kepentingan pengesanan awal.

KUANTAN – Pahang kini menjadi model dalam pengurusan penyakit kusta di Malaysia hasil kejayaan pelaksanaan program pengesanan aktif, rawatan awal serta pendekatan komuniti yang dilaksanakan secara berterusan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pahang (JKNP).

Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Ir. Razali Kassim berkata, JKNP mendahuli sebagai negeri rujukan dalam pengurusan dan kawalan penyakit kusta termasuk latihan petugas kesihatan serta pelaksanaan program komuniti seperti LaKAR (Latih, Analisa, Kesan, Rujuk dan Rawat).

“Walaupun merekodkan 170 kes baharu pada tahun 2025, negeri ini berjaya mengawal situasi penyakit melalui pengesanan awal, pemantauan rapi dan rawatan menyeluruh.

“Malah pendekatan yang dilaksanakan di Pahang kini menjadi contoh kepada negeri-negeri lain dalam usaha membendung penularan penyakit serta mengurangkan kecacatan akibat kusta,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Menurutnya, Program LaKAR yang dilaksanakan turut memperkukuh keupayaan petugas kesihatan dalam mengenal pasti kes lebih awal, sekali gus memastikan pesakit menerima rawatan segera sebelum komplikasi berlaku.

Pendekatan tersebut bukan sahaja meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan malah meletakkan Pahang sebagai antara peneraju dalam usaha penghapusan penyakit kusta di negara ini.

Tambah Razali, seiring tema ‘Kusta Boleh Disembuhkan, Namun Cabaran Sebenar Adalah Stigma’, Pahang turut menjadi model dalam usaha mengubah persepsi masyarakat bahawa pesakit kusta mampu menjalani kehidupan normal apabila mendapat rawatan awal dan sokongan berterusan.

Terdahulu beliau merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Pahang dan Program LaKAR 2026 yang berlangsung di FELDA Tersang 3, Raub hari ini.

Ir. razali kssim menyempurnakan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Hari Kusta Sedunia Peringkat Negeri Pahang dan Program LaKAR 2026 yang berlangsung di FELDA Tersang 3, Raub hari ini.

Menurutnya, Unit Tibi Kusta JKNP dengan kerjasama Pejabat Kesihatan Daerah Raub serta Malaysia Leprosy Relief Association (MALRA) berjaya menganjurkan program yang menjadi platform penting dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penyakit kusta.

Mengangkat tema yang sama seperti sambutan yang ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), program itu memberi penekanan penyakit kusta boleh dirawat sepenuhnya sekiranya dikesan awal, namun persepsi negatif masyarakat masih menjadi cabaran utama yang perlu diatasi.

Beliau optimis JKNP memperkukuh usaha pengesanan awal, rawatan serta pendidikan kesihatan kepada masyarakat bagi memastikan perkhidmatan kesihatan terbaik dapat dinikmati rakyat sekali gus memperkukuh kedudukan Pahang sebagai negeri rujukan dalam pengurusan penyakit kusta di Malaysia.

Untuk rekod di Pahang, sebanyak 170 kes baharu penyakit kusta telah direkodkan sepanjang tahun 2025.

Daripada jumlah itu, enam pesakit mengalami kecacatan kekal akibat penyakit yang lewat dikesan atau tidak mendapatkan rawatan pada peringkat awal.

Lebih membimbangkan, 23 kes melibatkan kanak-kanak berusia bawah 15 tahun yang menunjukkan masih wujud penularan penyakit dalam komuniti dan perlu usaha pengesanan awal diperkasakan.

Statistik memberi peringatan penyakit kusta masih wujud dalam masyarakat dan tidak boleh dipandang ringan.

“Walau bagaimanapun, saya ingin menegaskan bahawa kusta merupakan penyakit yang boleh disembuhkan sepenuhnya melalui rawatan Multidrug Therapy (MDT) yang disediakan secara percuma di fasiliti KKM.

“Justeru, masyarakat tidak perlu takut atau malu untuk tampil menjalani pemeriksaan sekiranya mempunyai tanda-tanda awal penyakit.

“Apa yang lebih penting ialah kita bersama-sama menghapuskan stigma terhadap pesakit kusta,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast