KUALA LUMPUR – Malaysian Football League (MFL) hari ini mengumumkan kelab Liga A1 Semi-Pro, Kelantan Red Warrior (KRW) FC bakal beraksi dalam saingan Liga Super 2026-2027 berikutan keputusan penarikan diri PDRM FC.
KRW FC yang menduduki tangga keempat Liga A1 musim lalu itu dan dibimbing jurulatih berpengalaman, Irfan Bakti sebelum ini telah melengkapkan segala dokumen bagi kriteria kewangan untuk dipromosikan ke Liga Super.
“Kelab yang berpangkalan di Kota Bharu itu dilihat lebih bersedia berbanding UM Damansara United FC (ke-6 Liga A1) dan Bunga Raya FC (ke-12 Liga A1) yang turut mengemukakan permohonan selepas mendapat Lesen Kebangsaan Luar Biasa daripada FIB.
“Bagaimanapun, satu lagi kelab Liga A1, Armed Forces FC tidak memohon untuk bertanding dalam Liga Super 2026-2027.
“PDRM FC telah menghantar surat rasmi penarikan diri kepada MFL semalam dengan mengambil kira faktor mahu memberi fokus kepada penstrukturan semula pengurusan kelab,” katanya MFL dalam satu kenyataan di media sosial di sini.
Kehadiran KRW FC menggantikan PDRM FC melengkapkan jumlah 12 kelab yang akan bertanding bagi Liga Super 2026-2027 iaitu juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT), Kuching City FC, Selangor FC, Kuala Lumpur City FC dan Terengganu FC.
Kelab lain adalah Star City FC yang sebelum ini dikenali sebagai Imigresen FC, Negeri Sembilan FC, Penang FC, Sabah FC, DPMM FC dan Melaka FC. – MalaysiaGazette
















