MELAKA – Seorang bayi lelaki berusia sembilan bulan cedera dipercayai ketika berada di bawah jagaan pengasuhnya di sebuah rumah di Taman Bukit Tambun Perdana, Durian Tunggal, semalam.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa berusia 37 tahun pada pukul 11.32 pagi.
Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati mangsa mengalami benjol pada bahagian dahi selain lebam di bahagian belakang badan.
“Siasatan awal mendapati pengasuh pada mulanya memaklumkan kecederaan itu berlaku selepas mangsa terhantuk pada lantai dan tersangkut di bawah katil ketika merangkak.
“Bagaimanapun, punca sebenar kecederaan yang dialami mangsa masih belum dapat dipastikan kerana bayi itu masih menjalani pemeriksaan oleh pegawai perubatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Susulan itu tambahnya, sepasukan pegawai dan anggota Cawangan D11, Jabatan Siasatan Jenayah Melaka menahan sepasang suami isteri berusia 31 dan 41 tahun itu pada pukul 11.30 malam tadi bagi membantu siasatan.
“Kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau dan saringan air kencing didapati negatif bahan terlarang.
“Mahkamah membenarkan kedua-dua suspek direman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 22 Julai ini bagi membantu siasatan,” katanya sambil menambah bayi berkenaan kini dirawat di Wad Pediatrik Hospital Melaka.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Dalam pada itu, Dzulkhairi menegaskan polis memandang serius sebarang bentuk pengabaian dan penderaan terhadap kanak-kanak.
“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang bagi memastikan kebajikan serta keselamatan kanak-kanak sentiasa terpelihara,” katanya. – MalaysiaGazette
















