Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari dalam PraPerasmian Hari Sukan Negara 2026.

PUTRAJAYA – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 menyasarkan penyertaan lebih 5.3 juta rakyat Malaysia menerusi pelbagai program sukan dan rekreasi yang akan diadakan di seluruh negara pada Oktober ini.

Menteri Belia dan Sukan, Dr. Mohammed Taufiq Johari berkata, sambutan HSN 2026 akan berlangsung selama tiga hari bermula 9 hingga 11 Oktober di seluruh negara, manakala Sarawak akan mengadakan sambutan pada 16 hingga 18 Oktober.

Mengulas tema Hari Sukan Negara 2026 yang memfokuskan Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI), beliau berkata, KBS mahu memanfaatkan teknologi terkini bagi menarik lebih ramai rakyat menyertai aktiviti sukan.

“Tahun ini, HSN membawa tema Teknologi Digital dan Kecerdasan Buatan (AI) selaras aspirasi Malaysia MADANI dan Visi Sukan Negara 2030 untuk menjadikan sukan sebagai budaya hidup rakyat Malaysia.

“Kita bawakan pelbagai teknologi seperti realiti maya (VR) termasuk VR Taekwondo dan VR golf yang mana menggunakan AI dan teknologi ini supaya selari dengan peredaran zaman serta pendigitalan yang sedang berlaku,” katanya dalam sidang media di Majlis Praperasmian Hari Sukan Negara 2026.

Dr. Mohammed Taufiq berkata, HSN bukan sahaja bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan bersukan dalam kalangan masyarakat malah merupakan langkah pencegahan awal bagi mengurangkan risiko penyakit kronik dan meningkatkan tahap kesihatan masyarakat.

“Kita dapat lihat padatnya hospital sekarang dan bagaimana tingginya kos untuk merawat pesakit kronik, yang paling penting adalah usaha pencegahan dan penjagaan kesihatan primer.

“Oleh itu, HSN adalah salah satu usaha KBS untuk memastikan masyarakat kita kekal aktif, kekal sihat dan dapat terus menjalankan aktiviti tanpa berdepan penyakit kronik atau penyakit yang berpunca daripada kurangnya aktiviti fizikal,” katanya.

Menurutnya lagi, pelaksanaan program itu turut memberi pengiktirafan kepada individu dan komuniti yang aktif membangunkan sukan di peringkat akar umbi.

Antara pengisian utama HSN 2026 ialah penganjuran Larian Ria MADANI, Berjalan Ria MADANI serta pelbagai aktiviti di bawah segmen Malaysia Aktif dan Industri Sukan yang mengangkat elemen Gaya Hidup Rakan Muda seperti Rakan Aktif, Rakan Digital, Rakan Litar dan Rakan Niaga.

Beliau berkata, bermula Julai ini, KBS menerusi JBSN turut melaksanakan pelbagai program bersama agensi kerajaan, sektor swasta dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi mewujudkan momentum menjelang kemuncak sambutan HSN 2026.

Sehubungan itu, beliau menyeru semua pihak agar bersama-sama menjayakan Hari Sukan Negara bagi merealisasikan hasrat menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara bersukan menjelang tahun 2030. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast