Pengerusi Perikatan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar bersama Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, Presiden Parti Wawasan Negara, Datuk Seri Hamzah Zainudin bergambar bersama calon-calon PN sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 pada Majlis Pengisytiharan Calon Perikatan Nasional PRN Negeri Sembilan di Kompleks Pas Kampung Ismail, Ampangan. Foto SADIQ SANI, 16 JULAI 2026.

SEREMBAN – Anak tokoh veteran politik, Tan Sri Dr Rais Yatim merupakan antara 11 calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding pada Pilihan Raya Negeri  (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 pada 1 Ogos ini.

Danni Rais, 39, akan bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang di mana bapanya kini merupakan Pengerusi Parti Wawasan Negara (Wawasan).

Turut bertanding bekas Timbalan Ketua Polis Melaka, Datuk Razali Abu Samah di DUN Sikamat.

Pengumuman kesemua calon dibuat Pengerusi PN, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Majlis Pengisytiharan Calon PN PRN Negeri Sembilan di Kompleks Pas Negeri Sembilan, Kg Ismail, Ampangan di sini, malam ini.

Turut hadir, Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man; Presiden Wawasan, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau.

Tiada kelibat pemimpin utama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang hadir pada majlis tersebut.

Sementara itu, pengumuman Ahmad Samsuri itu menyaksikan Pas akan bertanding di lima kerusi; Wawasan (4) manakala Gerakan dan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP)  masing-masing satu kerusi.

Antara calon lain yang diumumkan ialah Mohamad Rafie Ab Malek (Ampangan); Kumar Paramasevam (Lobak); Erik Michael (Mambau); Lee Boon Shian (Bukit Kepayang) dan Sathes Kumar Nilameham (Lukut).

PN turut mengekalkan empat penyandangnya iaitu Mohd Fairuz Mohd Isa (Serting); Kamarol Ridzuan Mohd Zain (Paroi); Abdul Fatah Zakaria (Bagan Pinang) dan Ridzuan Ahmad (Gemas).

Semalam Barisan Nasional (BN) mengumumkan calonnya yang akan bertanding di 25 kerusi DUN pada PRN Negeri Sembilan.

Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, tindakan hanya mengumumkan hanya 25 kerusi ditandingi parti gabungan itu kerana persefahaman dibuat dengan ‘rakan politik’ yang boleh dipercayai.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini menetapkan hari penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan pada Sabtu ini, diikuti pengundian awal 28 Julai dan hari pengundian pada 1 Ogos depan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast