KOTA TINGGI – Bapa kepada remaja yang hilang, Kamaruzaman Bahari, 50, mendakwa tempat mayat anaknya ditemui pagi tadi sudah berkali-kali dilaluinya sepanjang mencari Muhammad Nasrulhaq, 15, sejak enam hari lalu.
Dia yang bekerja kilang amat ralat dan penemuan mayat anaknya itu sangat meruntun hatinya kerana lokasi penemuan tersebut kerap dimasuki tetapi ‘tidak nampak’ anak tunggalnya itu.
“Kawasan itu sebenarnya saya sudah lalu berulang kali sepanjang lima hari mencari dia tetapi tidak nampak jasad anak. Saya bersama-sama sukarelawan sudah menjelajah pelbagai kawasan sekitar Kota Tinggi dan Petri Jaya termasuk laluan berkenaan namun tidak menyangka anaknya berada di lokasi itu.

“Memang saya sudah lalu kawasan itu banyak kali. Kami cari setiap tempat yang dirasakan mungkin dilalui dia, tetapi tidak nampak.
“Mungkin kedudukan jasadnya yang agak ke bawah menyebabkan kami tidak menyedarinya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kota Tinggi di sini hari ini.
Dia sanggup mengetepikan rehat dan mengambil cuti kerja demi mencari anaknya yang sudah beberapa hari hilang.
“Sejak diberitahu anak sudah beberapa hari tidak pulang, saya terus bergegas dan mula mencari. Dari Ahad sampai sebelah malamnya sebelum dia ditemui, saya keluar mencari waktu pagi dan hanya balik sekitar pukul 4 pagi sebelum sambung semula keesokan harinya,” katanya.
Menurutnya, kawasan sekitar Kota Tinggi khususnya Petri Jaya sudah menjadi lokasi yang sering dikunjunginya sepanjang usaha mencari Muhammad Nasrulhaq.

“Boleh dikatakan kawasan ini sudah seperti rumah kedua saya sepanjang seminggu ini,” katanya.
Kamaruzaman turut merakamkan penghargaan kepada penduduk setempat, rakan-rakan arwah serta pelbagai pihak yang tampil membantu selepas kehilangan anaknya tular di media sosial.
Beliau berkata, Muhammad Nasrulhaq merupakan anak yang baik, pendiam dan tidak pernah menimbulkan masalah kepada keluarga.
“Kalau ditanya ada masalah atau tidak, dia akan jawab ‘tak ada apa-apa ayah, tak ada apa-apa ibu, okey saja’. Di sekolah pun dia okey. Dia anak yang baik,” katanya sebak.
Tambah menyedihkan, Muhammad Nasrulhaq merupakan satu-satunya anak yang masih tinggal selepas anak sulung Kamaruzaman meninggal dunia sebelum ini.
Ujarnya, walaupun reda dengan pemergian anaknya, dia masih terkilan kerana tidak berpeluang meluangkan lebih banyak masa bersama-sama arwah.

“Kami bukan tinggal bersama. Saya bekerja kilang di Desa Cemerlang, Johor Bahru. Biasanya sebulan dua kali saya akan ambil dia ke rumah saya di Felda Air Tawar 2.
“Kali terakhir kami bersama-sama adalah Sabtu minggu lalu sebelum proses mengundi berlangsung,” katanya.
Jenazah Muhammad Nasrulhaq dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Gugusan Felda Waha berhampiran kediaman bekas isterinya.
Sebelum itu, Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Yusof Othman dilaporkan berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan melibatkan sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC itu kira-kira 2.30 pagi.
Beliau berkata, mayat yang ditemukan adalah Muhammad Nasrulhaq Kamaruzaman yang dipercayai keluar dari rumah di Felda Simpang Waha di sini pada 11 malam Sabtu lalu dengan menaiki motosikal secara berseorangan ke rumah rakannya di Kampung Temenin Baru.
Jelas beliau, mangsa mengalami kecederaan parah pada badan serta kaki dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal yang ditunggangnya dipercayai terbabas.- MalaysiaGazette
















