JOHOR BAHRU – Barisan Exco Kerajaan Negeri Johor penggal 2026–2031 terutama portfolio Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar mampu untuk terus menjaga kebajikan dan menjadikan bidang pertanian lebih berjaya.
Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Zahari Sarip yakin Md Israk Abdullah mengisi portfolio tersebut akan melakukan sebaik mungkin.
Beliau menzahirkan rasa syukur dan berpuas hati kerana sudah cuba memberikan perkhidmatan yang terbaik sepanjang menerajui portfolio berkenaan bagi penggal 2022 hingga 2026.
“Saya telah cuba lakukan yang terbaik bersama pasukan sebelum ini antaranya merekodkan hasil pertanian dan jualan tertinggi dalam negara serta meningkatkan hasil tenusu dan akuakultur.
“Dalam masa yang sama, saya dan pasukan turut berjaya dalam melaksanakan Program Jualan Kasih Johor,” katanya menerusi hantaran dalam Facebook miliknya hari ini.
Terdahulu, seramai 10 Exco kerajaan negeri termasuk empat muka baharu mengangkat sumpah sebagai Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) Johor bagi penggal 2026–2031.
Zahari berkata, sepanjang tempoh empat tahun lalu, pihaknya komited dalam memperkasa masyarakat luar bandar khususnya melibatkan usaha menjaga kebajikan serta mengangkat peranan ketua kampung dan komuniti Orang Asli.
Dalam masa yang sama, beliau secara terbuka memohon maaf kepada seluruh warga Johor sekiranya terdapat sebarang kelemahan atau kekurangan sepanjang pentadbirannya.
“Saya akui banyak kelemahan dan ketidaksempurnaan dalam pentadbiran kami dahulu.
“Maka saya memohon maaf kepada warga Johor terutama keluarga tani, penternak, nelayan, masyarakat luar bandar, warga Felda, Orang Asli dan semua pihak berkaitan jika ada tanggungjawab yang tidak sempat atau gagal dilaksanakan sebaiknya,” katanya. – MalaysiaGazette
















