Gambar hiasan.

DALAM era digital yang serba pantas, aplikasi seperti WhatsApp, Telegram dan pelbagai platform komunikasi lain telah menjadi medium utama dalam urusan kerja, pendidikan, organisasi mahupun kekeluargaan. Namun, di sebalik kemudahan yang ditawarkan, semakin ramai yang terlupa bahawa setiap mesej yang dihantar juga mempunyai adab dan etika yang perlu dipelihara.

Ramai beranggapan komunikasi dalam talian sekadar urusan menaip dan menghantar mesej. Hakikatnya, komunikasi digital tetap melibatkan hati, emosi dan penghormatan terhadap orang lain. Kegagalan memahami adab ini boleh mengundang salah faham, menjejaskan hubungan profesional dan akhirnya mengurangkan keberkesanan sesuatu organisasi.

Antara adab yang semakin tercicir ialah sikap memilih untuk memberi respon hanya kepada individu yang disenangi.
Tidak dinafikan setiap orang mempunyai kecenderungan terhadap individu tertentu, namun dalam urusan rasmi atau kumpulan kerja, keutamaan sepatutnya diberikan kepada kepentingan mesej, bukannya kepada siapa yang menghantarnya. Sikap berat sebelah ini boleh menyebabkan maklumat penting diabaikan dan menimbulkan rasa tidak dihargai dalam kalangan ahli pasukan.

Selain itu, budaya mengalih topik perbualan secara tiba-tiba tanpa memberi ruang kepada ahli lain memberi respon terhadap isu penting juga semakin kerap berlaku. Tidak salah berkongsi perkara baharu, namun seseorang perlu peka dengan aliran perbualan.

Apabila sesuatu mesej penting belum mendapat perhatian sewajarnya, tindakan menenggelamkannya dengan topik lain boleh menyebabkan maklumat kritikal terlepas pandang. Sedikit kesabaran mampu memastikan komunikasi berjalan dengan lebih tersusun dan berkesan.

Dalam sesetengah keadaan, terdapat juga individu yang terlalu ghairah berkongsi maklumat sehingga tidak menyedari bahawa perkara yang sama sebenarnya telah dikongsikan lebih awal oleh ahli lain. Sikap tidak membaca keseluruhan perbualan sebelum menghantar mesej boleh menyebabkan pengulangan maklumat yang tidak perlu. Ia mungkin kelihatan remeh, tetapi dalam kumpulan yang besar, keadaan ini boleh mengganggu kelancaran komunikasi.

Fenomena berkongsi kandungan yang sama ke pelbagai kumpulan WhatsApp tanpa mengambil kira kesesuaian penerima juga semakin menjadi kebiasaan. Keghairahan menyebarkan sesuatu maklumat kadangkala menyebabkan seseorang terlupa bahawa setiap kumpulan mempunyai tujuan dan fungsi tersendiri. Tidak semua perkara sesuai dikongsi di semua tempat.

Kebijaksanaan menilai konteks adalah sebahagian daripada literasi digital yang perlu dipupuk.

Begitu juga dengan amalan menghantar terlalu banyak gambar, video atau bahan yang tidak berkaitan dengan tujuan asal sesuatu kumpulan. Walaupun niatnya mungkin sekadar berkongsi kegembiraan atau hiburan, lambakan bahan yang tidak relevan boleh menyebabkan mesej penting tenggelam.

Dalam kumpulan kerja misalnya, disiplin komunikasi amat penting agar setiap ahli mudah mendapatkan maklumat yang diperlukan.

Satu lagi isu yang sering menimbulkan rasa kurang senang ialah kegagalan memberikan sebarang respon terhadap mesej yang memerlukan tindakan.

Tidak semua mesej memerlukan jawapan yang panjang. Kadangkala ucapan ringkas seperti “baik”, “diterima”, atau “akan diambil tindakan” sudah memadai untuk memberi keyakinan bahawa mesej tersebut telah dibaca dan difahami.

Respon yang ringkas tetapi tepat pada masanya mampu meningkatkan kepercayaan serta melancarkan urusan.

Tidak kurang juga situasi di mana mesej telah dibaca, ditandai dengan simbol “blue tick” namun dibiarkan tanpa sebarang maklum balas.

Walaupun seseorang mungkin sibuk atau belum mempunyai jawapan lengkap adalah lebih beradab untuk memaklumkan bahawa mesej telah diterima dan akan dijawab kemudian. Sikap ini bukan sahaja mencerminkan profesionalisme malah menunjukkan penghargaan terhadap masa dan usaha orang yang menghubungi kita.

Adab dan etika yang seterusnya ialah elakkan mesej terlalu panjang ketika beremosi. Jangan membiasakan diri menghantar mesej yang terlalu panjang, berjela-jela, lebih-lebih lagi ketika sedang marah, kecewa atau dipengaruhi emosi.

Mesej yang panjang mudah disalah tafsir kerana penerima tidak dapat melihat nada suara, ekspresi wajah atau niat sebenar.

Jika perkara yang ingin dibincangkan melibatkan banyak penjelasan, salah faham atau emosi, adalah lebih baik berhubung melalui panggilan telefon atau bertemu secara bersemuka.

Komunikasi secara langsung lebih berkesan untuk mengelakkan salah faham, menjaga hubungan dan mencari penyelesaian dengan lebih matang.

“Tidak semua perkara sesuai diselesaikan melalui papan kekunci. Ada masanya, suara dan pertemuan lebih menyampaikan hikmah daripada deretan perkataan.”

Dari perspektif psikologi, komunikasi yang tidak beretika dalam talian boleh menimbulkan pelbagai kesan emosi.

Individu yang sering diabaikan mungkin berasa tidak dihargai, tersisih atau kurang penting. Lama-kelamaan, keadaan ini boleh menghakis motivasi, mengurangkan semangat kerjasama dan menjejaskan kesejahteraan psikologi dalam organisasi.

Hakikatnya, teknologi hanyalah alat. Yang menentukan sama ada komunikasi itu membina atau merosakkan hubungan ialah sikap dan nilai yang dibawa oleh penggunanya.

Adab tidak sepatutnya hilang hanya kerana komunikasi berlaku melalui skrin telefon. Malah, dalam dunia digital yang tidak mempunyai bahasa tubuh dan nada suara, adab menjadi lebih penting kerana mesej mudah disalah tafsir.

Sebagai masyarakat yang menjunjung nilai kesopanan dan profesionalisme, marilah kita mengamalkan budaya komunikasi digital yang lebih berhemah.

Membaca sebelum membalas, menghormati giliran perbualan, memberi respon apabila diperlukan serta berkongsi maklumat secara beretika merupakan antara amalan kecil yang mampu memberikan impak besar terhadap keharmonian hubungan.

Akhirnya, kemajuan teknologi bukan sekadar diukur melalui kecanggihan aplikasi yang digunakan, tetapi juga melalui kematangan akhlak penggunaannya.

Mesej yang dihantar mungkin hanya beberapa patah perkataan, namun adab yang mengiringinya mampu meninggalkan kesan yang mendalam kepada penerimanya.

Teknologi mempercepatkan komunikasi, tetapi adablah yang memastikan komunikasi itu membawa kebaikan

Oleh Siti Fatimah Abdul Ghani
Pegawai Psikologi Kanan, Pejabat Pendaftar, Universiti Putra Malaysia (UPM)

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast