PORT DICKSON – M. Leevineshwaraan mencuri tumpuan apabila muncul sebagai calon termuda bakal bersaing merebut mandat rakyat Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 yang bermula semalam
Kredibiliti anak muda berusia 23 tahun itu yang mewakili Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diji dalam persaingan lima penjuru di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung.
Leevineshwaraan berdepan cabaran getir apabila menentang penyandang kerusi berkenaan, Datuk Dr G Rajasekaran daripada Pakatan Harapan (PH) yang memenangi kawasan itu pada pilihan raya lepas dengan majoriti 3,996 undi.
Rekod calon termuda sebelum ini dipegang oleh Muhammad Syakir Fitri Sadri yang bertanding atas tiket Bebas di DUN Paroi ketika berusia 25 tahun pada 2023.
Pada PRN lepas, rekod calon tertua dipegang oleh Bujang Abu, 72, yang bertanding atas tiket bebas.
Bagaimanapun, beliau tidak dapat bertanding kali ini selepas gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Sri Tanjung ialah satu daripada lima DUN di bawah Parlimen Port Dickson dan pada pilihan raya kali ini, seramai 19,590 pemilih berdaftar layak mengundi di kawasan itu.
DUN itu bersama Nilai menyaksikan pertembungan lima penjuru pada PRN Negeri Sembilan kali ini menyaksikan calon paling ramai bertanding dengan masing-masing lima orang. – MalaysiaGazette
















