KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Audit Negara mendedahkan beliau tidak pernah menemui bukti kecurian atau penyelewengan dalam pentadbiran Lembaga Tabung Haji sepanjang mengetuai Jabatan Audit Negara.
Tan Sri Madinah Mohamad berkata, pasukan audit ketika itu menjalankan tugas berdasarkan bukti serta piawaian pengauditan dan sebarang penyelewengan yang ditemui pasti akan diketengahkan.
“Semasa saya menjadi Ketua Audit Negara, saya tidak nampak atau menemui apa-apa bukti kecurian atau penyelewengan. Kalau ada, pastinya saya sudah laporkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan perkara itu pada program ‘Musyawarah Nasional: Realiti atau Persepsi: Jangan Politikkan Tabung Haji’ di sini, hari ini.

Beliau berkata laporan dan sijil audit yang dikeluarkan ketika beliau mengetuai JAN juga tidak menunjukkan wujudnya kecurian atau penyelewengan dalam Tabung Haji.
Menurutnya, tanggungjawab juruaudit adalah membuat penilaian berdasarkan bukti audit yang mencukupi dan sesuai, bukannya membuat kesimpulan berdasarkan persepsi atau maklumat yang hanya diketahui selepas audit selesai.
Madinah turut menegaskan, sekiranya pasukan audit menemui bukti kukuh mengenai salah laku atau penyelewengan, perkara itu akan dilaporkan kepada pihak berkuasa berkaitan.
“Saya berpijak di bumi yang nyata. Apa yang ada ialah bukti audit dan berdasarkan bukti itulah kita membuat keputusan,” tegasnya.
Lantaran itu, Madinah berkata, beliau tidak memahami istilah ‘sakau’ yang digunakan dalam dakwaan berkaitan Tabung Haji.
Katanya, sepanjang tempoh beliau mengetuai JAN, isu yang dikenal pasti pasukan audit diberi perhatian sepenuhnya dan tidak diketepikan.
Madinah berkata. dakwaan audit terdahulu gagal mengesan masalah Tabung Haji juga tidak wajar dibuat hanya berdasarkan perbezaan antara laporan JAN dan PwC.
Sebaliknya, katanya, proses audit perlu dinilai berdasarkan mandat, skop penugasan, piawaian profesional, bukti yang tersedia pada masa itu serta pertimbangan profesional yang digunakan ketika pendapat audit dibentuk.
“Tidak ada penyelewengan, kecurian atau ‘sakau’ itu,” tegasnya lagi. – MalaysiaGazette
















