TAMPIN – Berpengalaman lebih 15 tahun dalam politik dan membantu rakyat ketika pandemik Covid-19 menjadi antara kekuatan calon Pakatan Harapan (PH) Siti Aishah Seman @ Othman dalam usaha menawan kerusi Gemas pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Bekas Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas itu yang menetap di Gemas sejak 29 tahun lalu berkata, beliau menerima amanah tersebut dengan penuh tanggungjawab walaupun menyedari berdepan saingan sengit dengan dua calon lain.
Beliau berkata, pengalaman sebagai penyelaras DUN Gemas sejak 2021 banyak membantunya memahami keperluan rakyat walaupun tempoh itu menjadi antara cabaran terbesar kerana perlu menyantuni penduduk dalam keadaan penularan wabak.
“Masa saya ambil jawatan penyelaras adalah ketika Covid-19 dan memang ia satu cabaran jugalah pada masa tu bila kita nak menyantuni rakyat dengan keadaan pandemik.
“Tapi alhamdulillah kita berjaya dan berbekalkan pengalaman itulah saya kembali menyantuni pengundi hari ini kerana masyarakat di sini memerlukan pemimpin yang sentiasa dekat dengan mereka.
“Ada masalah turun mendengar, ada kematian datang menziarah, ada kenduri boleh hadir seperti waktu saya jadi penyelaras, bila banjir berlaku kita cepat turunkan bantuan awal diperlukan,” katanya ketika ditemui MalaysiaGazette dalam kempennya di Felda Jelai 3, Gemas di sini hari ini.

Mengulas lanjut, ibu kepada empat anak itu berkata, DUN Gemas mempunyai cabaran tersendiri kerana kawasan itu meliputi gugusan FELDA, Felda Pasir Besar serta kem tentera yang menempatkan jumlah pengundi awal yang besar.
“Cabarannya sebab di Gemas ini kalau ikutkan geologinya, demografinya kita ada gugusan Jelai 1, 2, 3 dan 4, kita ada Felda Pasir Besar dan kem tentera yang terbesar di Malaysia berpusat di Gemas.
“Memanglah sukar pada saya tapi sedikit pengalaman yang saya dapat daripada kepimpinan yang sebelum ini, insya-Allah ia boleh memenangi hati pengundi,” katanya.
Mengulas mengenai gerak kerja kempennya, Siti Aishah berkata, pendekatan yang dipilih ialah bertemu pengundi secara bersemuka tanpa memburukkan calon lain.
“Kita menyantuni secara terus, berjumpa dengan pengundi, memperkenalkan diri dan kita tidak menyentuh keburukan calon lain sebaliknya menceritakan apakah kelebihan yang kita akan tawarkan,” katanya.

Dalam masa sama, Siti Aishah mahu melihat lebih banyak peluang pekerjaan diwujudkan di Gemas supaya anak tempatan tidak perlu berhijrah ke bandar.
Beliau berkata, projek F&N AgriValley dilihat mampu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Kita perlukan lebih lagi ekonomi di sini dan antara yang berjaya kerajaan buat ialah membawa pelaburan iaitu F&N AgriValley.
“Bila F&N berfungsi sepenuhnya dia akan pengambilan pekerja sehingga 4,500. Jadi saya rasa ini adalah peluang yang besar kepada anak-anak tempatan kita untuk bekerja di tempat sendiri,” katanya.
Pada PRN kali ini, DUN Gemas menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Siti Aishah dengan penyandang Ridzuan Ahmad daripada Parti Wawasan dan Azman Abdullah daripada Bersatu.
Ridzuan memperoleh 11,653 undi untuk menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Abd. Razak Ab. Said, dengan majoriti 3,120 undi. – MalaysiaGazette
















