Calon Bebas, Islah Wahyudi (dua kanan) pada Hari Penamaan Calon sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Kompleks Pentadbiran Daerah Port Dickson, Negeri Sembilan. Foto SADIQ SANI, 18 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Calon bebas Dewan Undangan Negeri (DUN) Sri Tanjung, Islah Wahyudi menjadikan perjuangan menukar nama Port Dickson kepada Tanjong Kemuning sebagai strategi kempennya dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan Ke-16 kali ini.

Beliau yang juga Pengerusi NGO Identiti berkata, banyak nama penjajah pada tempat-tempat di negara ini sudah ditukar kepada nama tempatan selepas merdeka namun nama Port Dickson masih kekal sama.

Tambahnya, walaupun negara telah 68 tahun merdeka daripada penjajah Inggeris amat mengecewakan apabila masih banyak nama berkait penjajah kekal dalam identiti geografi negara.

Sebenarnya banyak nama penjajah telah ditukar bermula sejak awal kemerdekaan contohnya, North Borneo ditukar kepada Sabah (1963), Jesselton kepada Kota Kinabalu (1965), Province Wellesley kepada Seberang Perai (1972), Telok Anson kepada Teluk Intan (1982) dan Port Weld kepada Kuala Sepetang (1982).

“Kenapa berhenti di situ? Tiada sebab kita hendak simpan nama dia (Gabenor British) ,” katanya di sini hari ini.

Beliau turut memberitahu, nama asal Sri Tanjung adalah Tanjong Kemuning yang sebelum ini namanya adalah sebuah taman perumahan.

Berdasarkan sejarah, daerah Port Dickson dahulunya merupakan sebuah perkampungan Melayu dikenali sebagai Tanjung Kemuning namun dirampas oleh Gabenor British iaitu Dickson sebelum menukarnya kepada nama Port Dickson sekitar tahun 1889.

Mengulas lanjut, Islah berharap mesej yang ingin disampaikan sepanjang 14 hari berkempen pada PRN bukan sahaja kepada pengundi Sri Tanjung tetapi seluruh rakyat di negara ini.

Justeru beliau menyeru agar semua pihak menyokong usahanya itu selama ini dengan menubuhkan satu laman web khas untuk menukar bagi menukar nama Port Dickson kepada Pantai Dermaga bagi mengumpul petisyen tandatangan.

Pada PRN Negeri Sembilan Ke-16, Islah akan berdepan saingan lima penjuru calon termasuk penyandang kerusi, Datuk Dr Rajasekaran Gunnasekaran dari Pakatan Harapan (PH), calon dari Barisan Nasional (BN), A Achutan dan M Leevineshwaraan mewakili Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda).

Turut bertanding seorang lagi calon bebas, A. Saravanan.

Sri Tanjung antara lima DUN yang terletak di bawah Parlimen Port Dickson merupakan kerusi campuran dengan komposisi pengundi terdiri daripada Melayu sebanyak 37.2 peratus, Cina (31.5 peratus) dan India pula 28.3 peratus.

Pada PRN 2023, Rajasekaran memenangi kerusi tersebut dengan majoriti 3,996 undi.

PRN Negeri Sembilan ke-15 pada 2023 menyaksikan PH memenangi 17 daripada 36 kerusi DUN, diikuti BN (14) dan PN (lima).

SPR menetapkan tarikh pengundian awal bagi PRN Negeri Sembilan pada 28 Julai, manakala hari pengundian 1 Ogos, selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan pada 5 Jun lepas setelah mendapat perkenan Yang DIpertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast