SEREMBAN – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Labu, Siti Nur Umaira Hashim mengakui tidak mahu menabur janji yang sukar ditunaikan, sebaliknya bertekad menjadi suara rakyat dengan membawa setiap isu yang dibangkitkan penduduk kepada pihak berkaitan.
Beliau yang juga Ketua Pergerakan Puteri UMNO Negeri Sembilan berkata, keutamaan sekiranya diberi mandat ialah memastikan setiap isu dan permasalahan penduduk Labu diberi perhatian serta tindakan sewajarnya.
“Saya tak berani nak menjanjikan bulan dan bintang. Saya berharap saya mampu membantu rakyat di Labu dengan mengetengahkan isu-isu yang saya peroleh daripada kampung untuk didengari di peringkat atasan,” katanya ketika ditemui selepas program kenduri cekodok di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Tiroi, Negeri Sembilan.
Umaira yang juga setiausaha pergerakan itu menyifatkan pencalonannya sebagai satu amanah besar yang diberikan kepimpinan parti dan mahu kepercayaan tersebut digalas sebaik mungkin dengan sasaran utama memastikan BN kembali merampas kerusi DUN Labu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pucuk pimpinan atas mandat yang diberikan kepada saya untuk menjadi calon di N20 Labu. Saya berharap dapat menggalas tanggungjawab ini sebaik mungkin dan menghadiahkan kemenangan kepada BN,” ujarnya.
Mengulas saingan di DUN Labu, Umaira mengakui berdepan persaingan sengit, namun memilih untuk menghormati semua pencabarnya termasuk penyandang kerusi berkenaan.

Katanya, faktor usia yang muda bukan alasan untuk memandang rendah mana-mana pihak, malah beliau menyerahkan sepenuhnya kepada kebijaksanaan rakyat untuk menentukan calon terbaik.
“Saya tahu saya sangat muda dan persaingan saya agak sengit. Tetapi saya menghormati pihak lawan dan saya serahkan kepada rakyat untuk memilih siapa yang terbaik untuk mereka,” katanya.
Beliau turut menyifatkan Labu sebagai kawasan yang mempunyai sejarah kuat bersama UMNO dan berharap BN mampu mengembalikan semula penguasaan di kerusi itu selepas tidak memenanginya selama dua penggal.
Kerusi DUN Labu menyaksikan pertandingan tiga penjuru membabitkan Ahmad Faez mewakili PH, calon Barisan Nasional (BN), Siti Nur Umaira Hashim dan penyandang, Mohamad Hanifah Abu Baker daripada Perikatan Nasional. – MalaysiaGazette
















