PORT DICKSON – Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun mengakui lebih selesa bergerak dalam kumpulan kecil sewaktu bertemu pengundi pada siri kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ketika ini.
Menteri Besar Negeri Sembilan itu berkata, pendekatan tersebut bagi membolehkan beliau benar-benar menyantuni pengundi serta lebih fokus kepada isu-isu yang dibangkitkan rakyat.
Menurutnya, kaedah berkempen sebegitu juga sudah diamalkannya sejak beliau mula bertanding dalam pilihan raya umum bermula pada tahun 2008.
“Saya mahu memudahkan urusan untuk bertemu dengan masyarakat, sebab itu saya lebih suka bergerak secara bersendirian atau bersama pasukan kecil berbanding perarakan yang ramai kerana ia memberikan ruang yang lebih peribadi untuk berinteraksi dengan penduduk.
“Kasihan kepada pengundi, mereka mahu berjumpa dengan calon itu sendiri, bukan mahu melihat kehadiran jentera parti yang terlalu ramai sehingga menimbulkan rasa tidak selesa atau mengganggu ketenteraman mereka,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas menyantuni pengundi India di Pekan Pasir Panjang di sini, semalam.
Aminuddin ditanya berkenaan strategi kempen beliau selepas pada kebanyakan masa dilihat turun bertemu pengundi dalam kumpulan kecil, berbanding kebanyakan calon lain yang berkempen bersama kumpulan jentera yang ramai.
Sementara itu, Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson melahirkan rasa terharu dengan sokongan dan sambutan yang diberikan masyarakat India terhadap beliau di DUN Linggi.
Menurutnya, ia juga merupakan satu petanda positif bukan sahaja kepada usahanya memenangi DUN Linggi, malah kepada kesinambungan pentadbiran PH di Negeri Sembilan secara keseluruhannya.
“Saya kekal optimis serta yakin bahawa masyarakat di DUN Linggi akan menterjemahkan sokongan yang baik ini dalam bentuk undi kepada Pakatan Harapan pada hari pengundian nanti,” katanya.
Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Aminuddin akan bersaing merebut kerusi DUN Linggi dalam perebutan tiga penjuru menentang calon Barisan Nasional (BN) yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli serta calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Zamri Md Said.
DUN Linggi merupakan kubu kuat UMNO-BN yang mana pada PRN 2023, Mohd Faizal memenangi kerusi itu dengan majoriti 1,461 undi dalam persaingan satu lawan satu menentang Zamri.
PH tidak bertanding di kerusi tersebut pada 2023 berikutan pakatan pilihan raya dengan BN di bawah pembentukan Kerajaan Madani.
DUN Linggi mempunyai seramai 20,677 pengundi berdaftar dengan komposisi 62 peratus Melayu, India (17 peratus); Cina (16 peratus) dan lima peratus kaum lain. – MalaysiaGazette
















