KULAI – Seorang lelaki maut tersepit selepas kereta dipandu terlibat kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Kelapa Sawit-Kulai di sini malam tadi.
Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Pegawai Bomba Tinggi II Asmiza Zaini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian tersebut pukul 10.52 malam.
Susulan itu katanya, seramai lima anggota dibantu sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dikejarkan ke tempat kejadian.
“Kemalangan melibatkan sebuah kereta jenis Myvi dan sebuah treler. Pemandu kereta, Vong Kah Song yang berumur 45 tahun tersepit. Pihak bomba mengeluarkan mangsa menggunakan peralatan menyelamat.
“Mangsa kemudian disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan yang hadir di lokasi kejadian dan mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan.
Pihaknya melakukan kerja-kerja pembersihan sisa kemalangan di lokasi sebelum operasi selesai pukul 11.53 malam.- MalaysiaGazette
Caption gambar: Anggota bomba mengeluarkan mangsa yang tersepit dalam kemalangan di Jalan Kelapa Sawit-Kulai, Kulai, malam tadi.
















