SUNGAI PETANI – Seorang remaja berstatus orang kelainan upaya (OKU) kini bertarung nyawa selepas melecur teruk susulan terkena minyak panas akibat diserang sawan ketika memasak dalam kejadian di rumahnya di Kampung Tepi Sungai, Kota Kuala Muda, pada Jumaat lalu.
Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, Muhammad Hazim Samsuri, 19, yang juga anak sulung daripada empat beradik mengalami kecederaan pada muka, leher dan badan sehingga terpaksa ditidurkan di Unit Rawatan Rapi (ICU), Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di sini.
Bapanya, Samsuri Jaafar, 49, berkata, anaknya yang merupakan pemegang kad OKU kategori sawan ketika itu baru selesai menggoreng nugget untuk adik-adiknya.
Kata nelayan itu, anaknya gemar memasak dan keluarga tidak menghalang dia berbuat demikian kerana dia selalu membantu menyediakan makanan di rumah.
“Tak ada siapa nampak macam mana dia jatuh. Bila kami tengok, kuali sudah terbalik dan minyak panas sudah tumpah atas badan dia.
“Saya terus angkat dia masuk ke bilik air dan siram dengan air sebelum membawanya ke klinik. Bagaimanapun, doktor di klinik memaklumkan kecederaan yang dialami anak saya itu serius dan meminta membawanya ke hospital,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.
Menurut Samsuri, anaknya mengalami kecederaan paling teruk pada bahagian muka sehingga terpaksa tidurkan.
“Pihak hospital memaklumkan kemungkinan dia perlu ditidurkan untuk tempoh masa lama selain proses pemulihan akan mengambil masa berbulan.
“Malah selepas itu dia juga perlu menjalani pembedahan plastik di Hsopital Pulau Pinang dan kami kini berharap keadaannya kembali pulih,” katanya.
Tambah Samsuri, Muhammad Hazim tidak bekerja kerana menghidap sawan sejak sekian lama.
Katanya, anaknya mengalami serangan sawan antara tiga hingga empat kali sebulan namun kebiasaannya akan sempat memberi amaran kepada ahli keluarga sebelum serangan berlaku.
“Selalunya kalau sawan nak datang dia akan cakap, ‘Abah, mata tak nampak’. Bila dia cakap macam itu kami akan cepat pegang dia. Tapi hari kejadian dia diam saja. Tahu-tahu dia sudah jatuh,” katanya.
Beliau berkata, kejadian itu memberi kesan besar kepada keluarganya kerana perlu berulang-alik ke hospital setiap hari untuk melihat keadaan anaknya.
“Saya bekerja sebagai nelayan, isteri pula suri rumah. Sekarang saya tak dapat turun ke laut seperti biasa sebab setiap hari kena bawa isteri melawat anak di hospital.
“Kami juga masih ada dua anak yang bersekolah, jadi memang banyak perkara yang perlu diuruskan dalam masa sama,” katanya.
Orang ramai yang ingin membantu meringankan beban keluarga itu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Agrobank 1005141000034703 atas nama Samsuri Jaafar atau menghubungi Samsuri di 018 614 1223 atau isterinya, Siti Mahani di 019 954 6438. – MalaysiaGazette
















