Pengerusi Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang juga calon PH N.32 Linggi, Datuk Seri Aminuddin Harun bercakap pada sidang media situasi sebenar keputusan pencalonan DUN Chuah, di Hotel Mulyo, Port Dickson. Foto SADIQ SANI, 20 JULAI 2026.

PORT DICKSON – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Aminuddin Harun senada dengan desakan supaya mereka yang memegang jawatan dalam Kerajaan Perpaduan meletakkan jawatan sekiranya menyerang rakan Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan itu, perkara tersebut sepatutnya difahami dengan mudah oleh pihak-pihak yang berkenaan.

“Itu kena fahamlah tu, kena letaklah jawatan.

“Kan kita bertanding ni nak dapatkan jawatan, tapi jawatan ada tak nak lepas, macam mana tu?

“Saya harap kena ikutlah peraturan. Kita nak bertanding tak bolehlah kita gunakan apa yang kita ada. Saya pun jalan seorang-seorang saja,” katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini.

Aminuddin yang juga calon Pakatan Harapan di DUN Linggi ditanya berkenaan amaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini supaya mana-mana menteri, timbalan menteri dan pemegang jawatan dalam agensi kerajaan tidak menggunakan kedudukan untuk menyerang rakan Kerajaan Persekutuan ketika berkempen pada Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk di Negeri Sembilan ketika ini.

Perdan Menteri berkata, mana-mana pihak berkaitan yang melakukan perkara itu akan diminta berundur daripada jawatan yang disandang.

Sementara itu, desakan supaya sama turut disuarakan Angkatan Muda Harapan (AMH) supaya semua menteri dan timbalan menteri daripada Barisan Nasional (BN) meletakkan jawatan daripada Kabinet.

Ia susulan gabungan parti itu secara terbuka menjalinkan kerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN Johor dan Negeri Sembilan.

Menurut AMH, tindakan BN itu membuktikan parti berkenaan tidak lagi menghargai kepercayaan serta kedudukan yang diberikan Perdana Menteri dalam Kerajaan Perpaduan.

Pada PRN Negeri Sembilan kali ini, Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang juga Timbalan Pengerusi BN sekali lagi bertanding mempertahankan kerusi DUN Rantau.

Semalam, ketika diajukan berkenaan amaran Anwar itu, Mohamad menegaskan beliau bersedia melepaskan jawatan sekiranya diarahkan Perdana Menteri. – MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast