KOTA TINGGI – Polis memaklumkan dakwaan tular seorang pemandu e-hailing cuba menculik penumpang wanita di sini adalah palsu.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superitendan Yusof Othman berkata, ia berdasarkan siasatan awal yang mendapati penumpang berkenaan bertindak keluar dari kenderaan dinaiki itu secara tiba-tiba tanpa diketahui sebab.
“Bagi menyangkal maklumat tular, pemandu e-hailing tampil membuat laporan polis pada 15 Julai lalu. Pemandu berkenaan menafikan cuba menculik penumpang malah siasatan polis juga mendapati tiada unsur-unsur penculikan,” katanya ketika dihubungi.
Terdahulu terdapat pihak yang mendakwa seorang pemandu e-hailing lelaki terbabit dalam kes cuba menculik penumpang.
Menerusi maklumat yang tular dalam aplikasi WhatsApp dan Facebook, seorang pemandu e-hailing yang memandu Perodua Myvi bewarna hitam didakwa cuba menculik penumpang wanita.
Maklumat berkenaan yang turut memaparkan gambar pemandu e-hailing serta nombor plat kereta berkenaan menggesa orang ramai supaya lebih berhati-hati dengan pemandu berkenaan.
Dia juga didakwa memiliki kes jenayah serta boleh mengancam keselamatan ramai.
Sementara itu, menerusi suatu laporan polis yang dikongsi ahli keluarga pemandu e-hailing itu, lelaki berusia 40-an mengambil penumpang berkenaan pada pukul 6.20 petang pada 15 Jun lalu.
Menurut laporan, penumpang itu dihantar ke tempat kerja di kilang kelapa sawit di Jalan Bypass Kota Tinggi.
Namun secara tiba-tiba wanita terbabit keluar dari kereta sambil menjerit-jerit meminta tolong di simpang tiga Taman Aman di sini.
Pemandu berkenaan mendakwa buntu dengan perbuatan wanita itu dan beberapa orang awam turut menyaksikan kejadian berkenaan serta menyoalnya.
Malah beberapa minit kemudian, ahli keluarga penumpang itu tiba serta mendakwa wanita itu mengalami masalah kesihatan serta menjelaskan tambang.
Sementara itu, ahli keluarga pemandu e-hailing itu juga mendakwa maklumat yang ditular itu umpama menabur pasir dalam periuk nasi kerana menjejaskan pendapatan lelaki itu.- MalaysiaGazette
















