JOHOR BAHRU – Seorang operator kilang maut selepas tercampak keluar dan dihempap van dinaiki dalam kemalangan empat kenderaan di Jalan Permas Utara menghala ke pusat bandar di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Azrul Hisham Mohd Shaffei berkata, dalam kejadian pukul 7.15 pagi itu, wanita yang berusia 42 tahun meninggal dunia di lokasi kejadian.
“Kemalangan itu bermula apabila sebuah kereta jenis Honda Civic yang dipandu seorang wanita warga tempatan berusia 29 tahun bekerja sebagai pembantu bakeri bersama-sama penumpang lelaki berusia 30 tahun hilang kawalan.
“Honda Civic dari arah bandar Permas menghala ke Kota Masai itu kemudian masuk ke laluan bertentangan sebelum merempuh van jenis Ford yang dipandu seorang lelaki berusia 39 tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, pelanggaran tersebut menyebabkan van tersebut berpusing di laluan bertentangan lalu terbalik.
Jelasnya, mangsa iaitu penumpang wanita dalam van berkenaan padaasa sama tercampak keluar melalui pintu sebelah kiri sebelum dihempap kenderaan itu.
Katanya, Honda Civic tersebut kemudian meluncur dan melanggar sebuah kereta jenis Perodua Alza yang dipandu seorang wanita berusia 46 tahun.
Kebetulan katanya, datang sebuah motosikal jenis Yamaha 135LC yang ditunggang seorang lelaki berusia 37 tahun bersama-sama tiga anaknya yang berumur 5, 7 dan 9 tahun dari arah sama.
Jelasnya, motosikal terbabit gagal mengelak lalu merempuh Perodua Alza terbabit.
“Akibat kemalangan itu, wanita terbabit mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pembantu perubatan dari Hospital Sultan Ismail (HSI). Mayat dibawa Unit Forensik HSI untuk bedah siasat,” katanya.
Pemandu Honda Civic bersama-sama penumpang katanya, tidak mengalami sebarang kecederaan manakala pemandu Perodua Alza cedera di bahagian leher, pipi dan mulut.
Sementara penunggang motosikal bersama-sama tiga kanak-kanak tersebut hanya mengalami kecederaan ringan dan menerima rawatan di hospital yang sama, katanya.
Menurut beliau, kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis memohon saksi awam yang melihat kejadian tersebut untuk tampil membantu siasatan dengan menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Dayang Aziemah Awang Sabeli 017-3064779.
Tambahnya, boleh juga hadir terus ke Balai Trafik Johor Bahru Selatan.- MalaysiaGazette
.
















