KUALA LUMPUR – Seorang remaja berusia 14 tahun antara tangkapan baharu bagi membantu siasatan berhubung kes tikam pelajar tingkatan tiga di sebuah sekolah di Banting, Kuala Langat, 6 Julai lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar berkata, tangkapan dilakukan untuk siasatan lanjut berkenaan tindakan suspek.
“Selepas suspek beruisa 15 tahun telah dituduh, polis telah melaksanakan beberapa siasatan dengan menahan remaja berumur 14 tahun dipercayai dapat membantu siasatan.
“Bagaimanapun pelajar terbabit telah dibebaskan dengan jaminan polis selepas siasatan mendapati tiada keterlibatan secara langsung dengan kes tikam itu.
“Siasatan ini untuk mengetahui sekiranya wujud komuniti ataupun kumpulan-kumpulan yang menjadi penyebab kepada kenapa suspek bertindak sedemikian rupa.
“Dia (tangkapan baru) ini bukan fasilitator, mungkin rakan-rakan yang berbincang dalam satu grup WhatsApp atau yang boleh bertukar-tukar pendapat, cadangan sehingga boleh mendorong suspek bertindak demikian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor di Shah Alam hari ini.
Tambah Shazeli, remaja berusia 14 tahun itu bukan dari sekolah yang sama dengan mangsa, malah tidak mendedahkan lokasi serta sekolah pelajar terbabit atas faktor bawah umur.
Dalam pada itu polis turut menyiasat kandungan-kandungan dalam media sosial berkaitan penyebaran segala maklumat yang menjadi bukti dalam siasatan kes berkenaan.
“Kita sedang siasat bagaimana nota-nota yang mengandungi senarai individu-individu dibuat suspek tersebar dalam media sosial kerana ia merupakan sebahagian daripada bukti kes,” jelasnya.
Sementara itu, berhubung perkembangan terkini kesihatan mangsa, beliau memaklumkan mangsa sudah dibenarkan keluar dari hospital pada 13 Julai lalu dan masih menjalani pemulihan.
Pada 10 Julai lalu, Mahkamah Majistret di Telok Datok, Kuala Langat mengarahkan remaja perempuan suspek kes tikam itu menjalani rawatan dan penilaian psikiatri selama sebulan dekat Hospital Bahagia di Ulu Kinta, Perak.
Perintah tersebut dikeluarkan ketika suspek dihadapkan ke mahkamah berkenaan atas pertuduhan menikam rakan sekelasnya pada 6 Julai lalu. – MalaysiaGazette
















