Pempengaruh, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo

KUALA LUMPUR – Mahkamah Tinggi menetapkan 31 Julai ini bagi memutuskan rayuan pihak pendakwaan yang mahu mengetepikan pembebasan pempengaruh, Wan Muhammad Azri Wan Deris daripada pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan pro kepada Israel dan barat, tiga tahun lalu.

Hakim Nurulhuda Nur’aini Mohamad Nor menetapkan tarikh tersebut untuk menentukan sama ada Wan Muhammad Azri atau dikenali Papagomo dipanggil membela diri atau dibebaskan daripada pertuduhan.

Mahkamah selesai mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Mohamad Mustaffa P Kunyalam dan peguam Muhammad Rafique Rashid Ali mewakili Wan Muhammad Azri.

Terdahulu, Mohamad Mustaffa berhujah, pertuduhan ke atas Wan Muhammad Azri selaku responden tidak cacat walaupun saksi pendakwaan pertama, Hisham Sharudin telah menarik balik laporan polis terhadap Wan Muhammad Azri.

“Mahkamah ini tidak boleh mengenepikan kuasa Peguam Negara yang termaktub di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan dan seksyen 376(1) Kanun Tatacara Jenayah yang memutuskan untuk meneruskan pendakwaan ke atas responden,” katanya yang mengendalikan kes itu bersama TPR Deepa Nair Thevaharan.

Selain itu, Mohamad Mustaffa berhujah, pihak pendakwaan telah membuktikan bahawa Wan Muhammad Azri menyebut kata-kata menghasut melalui keterangan saksi-saksi pendakwaan.

Beliau menghujahkan, isu sama ada ucapan yang dibuat Papagomo benar-benar menyebabkan kejadian kacau bilau atau huru hara, adalah tidak relevan untuk pertimbangan mahkamah.

Menurut beliau, pihak pendakwaan tidak perlu membuktikan bahawa perkataan-perkataan orang kena tuduh itu telah menyebabkan keganasan sebenar.

Hujah beliau, pandangan saksi-saksi yang mendengar perkataan didakwa menghasut bukan penentu dan adalah tidak relevan dalam pertimbangan sama ada perkataan-perkataan itu menghasut atau sebaliknya.

Sehubungan itu, pendakwaan menghujahkan agar Wan Muhammad Azri dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Sementara itu, Muhammad Rafique pula berkata, pihak perayu (pendakwaan) gagal membuktikan elemen bahawa kenyataan anak guamnya adalah hasutan di bawah undang-undang.

“Mahkamah Sesyen telah membuat keputusan yang betul berdasarkan keterangan saksi serta peruntukan undang-undang semasa yang tidak mewajarkan suatu campur tangan dari mahkamah,” katanya.

Pada 3 September tahun lalu, Hakim Siti Aminah Ghazali melepas dan membebaskan Wan Muhammad Azri tanpa memanggilnya membela diri daripada pertuduhan tersebut selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap beliau pada prosiding akhir kes pendakwaan.

Pada 8 Januari 2024, Wan Muhammad Azri mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menyebut kata-kata menghasut yang mengaitkan kerajaan, pro kepada Israel dan Barat di laman Facebook.

Wan Muhammad Azri didakwa menghasut di laman Facebook ‘Halid Hamidi (Halid Mat Kool)’ dan kata-kata itu dilihat oleh individu di sebuah unit kondominium di Jalan Tong Shin, Bukit Bintang di sini pada 1 tengah hari, 8 November 2023.

Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 4 (1) (b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4 (1) akta sama, yang membawa hukuman denda sehingga RM5,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast