Tangkap layar dipercayai kes buli melibatkan sekumpulan individu memukul seorang remaja lelaki di Alam Damai, Cheras

KUALA LUMPUR – Empat pelajar lelaki berusia 14 tahun ditahan polis disyaki terlibat kes pukul seorang remaja lelaki hingga parah dalam kejadian di Residensi Prima Alam Damai, Cheras pada 5 Julai lau.

Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, pihaknya telah mengesan penularan rakaman video kejadian itu menerusi aplikasi Whatsapp.

“Kita telah menerima laporan berhubung kejadian itu daripada ibu mangsa sekitar jam 12.54 tengah malam pada 5 Julai lalu. Sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras telah  menahan kesemua suspek lelaki tempatan  bagi membantu siasatan.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit milik salah seorang suspek yang digunakan untuk merakam kejadian tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah beliau, motif kejadian dipercayai rasa tidak puas hati suspek terhadap mangsa namun siasatan lanjut masih dijalankan.

Kes terbabit disiasat di bawah Seksyen 325 Kanun Keseksaan.

“Kesemua suspek telah direman dua hari iatu 6 hingga 7 Julai dan kertas siasatan sedang dilengkapkan sebelum dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya (TPR),” jelasnya.

Terdahulu, tular rakaman video di media sosial memaparkan sekumpulan pelajar memakai baju sukan sekolah bertindak memukul seorang remaja lelaki hingga cedera parah sambil merakam tindakan itu. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast