Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bharu.

KUALA LUMPUR – Pertambahan mendadak jumlah pengguna yang keluar ke Singapura pada waktu sama menjadi punca kesesakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI), Johor Bharu pada setiap pagi.

Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) berkata, hasil pemantauan mendapati majoriti rakyat Malaysia yang berulang alik ke Singapura untuk bekerja memulakan perjalanan antara 6.30 pagi hingga 7.30 pagi.

“Keadaan itu sekali gus menyebabkan pertambahan pengguna secara serentak dan seterusnya meningkatkan kesesakan di pintu pemeriksaan.

“Bagi melancarakan aliran pemeriksaan, pengembara disaran merancang perjalanan lebih awal bagi mengelak kelewatan serta mengurangkan kesesakan pada waktu puncak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah agensi itu, orang ramai juga diminta memberikan kerjasama dengan mematuhi arahan petugas di lokasi termasuk bergerak ke lorong pemeriksaan yang masih kosong.

“Kerjasama ini amat penting bagi memastikan pengagihan pengembara ke setiap lorong dapat dilakukan secara lebih seimbang dan proses pemeriksaan dapat dipercepatkan.

“Orang ramai digalakkan mengguna aplikasi MyNIISe bagi mempercepatkan urusan pemeriksaan di pintu sempadan selain menyokong usaha pendigitalan perkhidmatan kerajaan.

“Bilangan kaunter pemeriksaan manual akan dikurangkan secara berperingkat sejajar pelaksanaan sistem digital itu,” jelasnya.

Tambah AKPS, pengguna MyNIISe juga diingatkan supaya memastikan kod QR dikemas kini dan sedia digunakan sebelum tiba di lorong pemeriksaan.

“Tindakan mengemas kini kod berkenaan di kaunter hanya akan melambatkan proses pemeriksaan serta menyumbang kepada kesesakan,” katanya.

Dalam pada itu, pengembara diingatkan supaya menggunakan lorong pemeriksaan yang betul mengikut kaedah perjalanan masing-masing sama ada melalui Kaunter Manual, MyBorderPass atau MyNIISe. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast