KUALA LUMPUR – Pertubuhan Pengguna Ekonomi Digital Malaysia (myDigitalConsumer) menggesa kerajaan memperkukuh kerangka perlindungan data peribadi negara susulan dakwaan kebocoran penyata bil telefon usahawan media sosial, Khairul Aming baru-baru ini.
Menurutnya, walaupun pihak berkuasa sedang menyiasat insiden berkenaan, kes tersebut menjadi peringatan bahawa perlindungan data peribadi rakyat perlu dipertingkatkan dalam sektor awam dan swasta.
Menurut myDigitalConsumer, kebocoran maklumat peribadi seperti rekod telekomunikasi, butiran kewangan, maklumat identiti dan rekod kerajaan berpotensi membawa implikasi besar kepada pengguna, termasuk risiko kecurian identiti, penipuan kewangan, kejuruteraan sosial dan jenayah siber.
“Di Malaysia, nombor MyKad digunakan secara meluas sebagai pengenal utama dalam urusan dengan agensi kerajaan dan organisasi swasta.
“Jika maklumat ini terdedah atau tidak dilindungi dengan sewajarnya, pihak tidak bertanggungjawab boleh menggabungkan pelbagai data daripada sumber berbeza bagi membina profil peribadi seseorang,” menurutnya dalam satu kenyataan hari ini.
myDigitalConsumer turut membangkitkan kebimbangan terhadap amalan sesetengah premis kediaman berpagar, bangunan komersial dan premis persendirian yang mengambil gambar MyKad atau lesen memandu pelawat sebagai syarat pendaftaran.
Menurutnya, amalan itu mendedahkan pengguna kepada risiko privasi kerana dokumen pengenalan diri mengandungi pelbagai maklumat sensitif yang jauh melebihi keperluan untuk tujuan pengesahan pelawat.
“Selepas gambar diambil, pengguna lazimnya tidak mengetahui di mana imej disimpan, berapa lama ia disimpan, siapa yang mempunyai akses atau sama ada ia dilindungi dengan kawalan keselamatan yang mencukupi,” katanya.
Pertubuhan itu berkata, amalan tersebut tidak selari dengan prinsip asas perlindungan data peribadi seperti had tujuan, peminimuman data, keselamatan, had tempoh penyimpanan dan akauntabiliti yang diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Selain itu, myDigitalConsumer berpandangan sudah tiba masanya Seksyen 3 Akta Perlindungan Data Peribadi 2010 (PDPA) dikaji semula kerana ia mengecualikan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri daripada pemakaian akta tersebut.
Katanya, banyak insiden kebocoran data yang mendapat perhatian umum sejak beberapa tahun kebelakangan ini membabitkan agensi awam atau pangkalan data yang diselenggara oleh entiti kerajaan.
“Pengguna tidak seharusnya menerima tahap perlindungan yang berbeza hanya kerana data peribadi mereka dipegang oleh badan kerajaan berbanding organisasi swasta,” katanya.
myDigitalConsumer berkata, Malaysia wajar mengambil amalan terbaik antarabangsa seperti Peraturan Perlindungan Data Umum Kesatuan Eropah (GDPR) bagi memastikan semua data peribadi diproses dengan tahap perlindungan yang tinggi tanpa mengira sama ada dikendalikan oleh agensi kerajaan, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau organisasi swasta.
Sehubungan itu, pertubuhan berkenaan menggesa kerajaan mengkaji semula Seksyen 3 PDPA bagi memperluaskan obligasi perlindungan data kepada agensi kerajaan secara berperingkat, selain mengeluarkan garis panduan nasional yang melarang pengambilan gambar atau salinan MyKad dan lesen memandu bagi tujuan pendaftaran pelawat secara rutin, kecuali jika diwajibkan undang-undang.
Ia turut menggesa kerajaan memperketat prosedur pengesahan identiti sebelum maklumat pelanggan didedahkan, memperkukuh tindakan penguatkuasaan terhadap penyalahgunaan data peribadi serta membangunkan rangka kerja tadbir urus data yang menyeluruh bagi sektor kerajaan.
Dalam masa sama, myDigitalConsumer menasihatkan orang ramai supaya menjaga nombor MyKad dan dokumen pengenalan diri, mengelakkan pemberian salinan MyKad jika tidak diperlukan, bertanya tujuan data dikumpulkan, melaporkan sebarang penyalahgunaan kepada pihak berkuasa serta sentiasa memantau akaun kewangan dan telekomunikasi masing-masing.
Menurut pertubuhan itu, kepercayaan pengguna merupakan asas kepada pembangunan ekonomi digital negara dan setiap insiden kebocoran data berisiko menghakis keyakinan masyarakat terhadap perkhidmatan digital serta meningkatkan ancaman jenayah siber.
“Hasrat Malaysia untuk menjadi sebuah negara digital yang dipercayai hanya dapat direalisasikan melalui kerangka perlindungan data peribadi yang moden, menyeluruh dan terpakai secara seragam kepada semua pihak,” katanya. – MalaysiaGazette
















