KUANTAN – Seorang pekerja buruh ladang warganegara Indonesia maut selepas motosikal dinaiki terbabit kemalangan dengan sebuah lori di Jalan Utama Ladang Kosma, Rompin pada 18 Julai lepas.
Mangsa dikenali sebagai Hendrawan, 24 disahkan meninggal dunia oleh Pegawai Perubatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) petang semalam akibat kecederaan parah di bahagian kepala.
Menurut Ketua Polis Daerah Rompin, Superintendan Sharif Shai Sharif Mondoi, ketika kejadian, mangsa menaiki motosikal bersama seorang rakan yang juga buruh ladang dari arah kawasan pembinaan Ladang Kosma menghala ke Perumahan Ladang Kilang Kosma.
“Siasatan awal mendapati ketika sampai di lokasi kejadian, lori dipandu pekerja kontrak pembinaan itu telah hilang kawalan lalu terbalik di bahu jalan sebelah kanan dan telah menghempap motosikal mangsa.
“Bagaimanapun, pembonceng motosikal yang juga warganegara Indonesia sempat menyelamatkan diri dan tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.
Sharif berkata, pemandu lori terbabit mengalami kecederaan di bahagian tangan dan kaki kanan, manakala kelindannya mengalami kecederaan di bahagian mata sebelah kiri akibat kemalangan itu.
Kes kini disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – MalaysiaGazette
















