ISKANDAR PUTERI – Hari ini Bangunan Network School di Forest City di sini sudah menghentikan operasi susulan pembatalan lesen perniagaannya oleh Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Tinjauan mendapati bangunan berkenaan lengang dan tiada pihak berurusan termasuk tiada kelibat yang kelihatan.
Pemerhatian di lokasi juga mendapati satu notis pemberitahuan penutupan sementara ditampal pada pintu masuk utama premis manakala papan tanda yang sebelum ini memaparkan nama Network School didapati sudah diturunkan.
Bagaimanapun, beberapa pengawal keselamatan masih berada dalam kawasan premis bagi mengawal keadaan.

Sebelum ini, MBIP mengumumkan lesen perniagaan NSO Malaysia Sdn Bhd (Network School) dibatalkan dan mengarahkan semua aktiviti syarikat itu dihentikan berkuat kuasa 22 Julai selepas didapati melanggar beberapa syarat pelesenan.
Antara pelanggaran yang dikenal pasti termasuk menjalankan operasi tanpa lesen yang sah bagi satu premis selain tidak mematuhi syarat penggunaan premis yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.
Kerajaan Johor turut menyatakan sokongan penuh terhadap tindakan MBIP dan menegaskan penguatkuasaan itu dibuat berdasarkan undang-undang serta hasil penelitian terhadap laporan pemeriksaan, dapatan penguatkuasaan dan representasi yang dikemukakan pihak syarikat.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi dilaporkan berkata, kerajaan negeri memandang serius sebarang pelanggaran syarat pelesenan dan tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Beliau berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) serta agensi berkaitan bagi memastikan semua aspek perundangan dipatuhi, termasuk membabitkan status pelajar antarabangsa yang terjejas susulan penutupan operasi Network School. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Lesen perniagaan dibatalkan, Network School diarah henti operasi esok – Onn Hafiz
















