Seramai 108 warga asing pelbagai negara ditahan atas pelbagai kesalahan di premis Taman Sri Bahagia, Johor Bahru, kelmarin

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Johor menahan 108 warga asing selepas menggempur premis-premis perniagaan yang dikendalikan mereka di Taman Sri Bahagia di sini kelmarin.

Pengarah Imigresen negeri, Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata, operasi bersepadu bersama-sama Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) itu dilakukan pukul 8 malam.

“Pemeriksaan awal mendapati, seramai 108 warga asing ditahan atas pelbagai kesalahan imigresen. Mereka yang ditahan terdiri daripada 12 lelaki dewasa warganegara Indonesia, 15 lelaki dewasa Nepal, empat lelaki dewasa warga India dan 22 lelaki dewasa Myanmar.

“Ini termasuk 32 lelaki dewasa Bangladesh, 16 lelaki dewasa Pakistan, dua wanita dewasa Indonesia, tiga wanita dewasa Indonesia Myanmar dan dua wanita dewasa Nepal berusia dalam lingkungan 18 tahun hingga 49 tahun,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara warga India yang ditahan bekerja di restoran di Taman Sri Bahagia, Johor Bahru

Beliau berkata, mereka yang ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Mereka katanya, ditempatkan di Depot Imigresen Setia Tropika di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Selain itu, katanya, sebanyak dua keping borang 29 iaitu saman terhadap saksi dikeluarkan sepanjang pemeriksaan untuk membantu siasatan.

Jelasnya, operasi itu dilaksanakan sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang imigresen, membanteras penyalahgunaan pas lawatan, pas kerja dan kemudahan imigresen.

Warga asing yang ditahan bekerja tanpa permit sah dan pelbagai kesalahan imigresen lain

“Tindakan ini merupakan hasil risikan dan pemantauan yang dijalankan bagi memastikan pematuhan terhadap undang-undang imigresen serta mengesan sebarang bentuk pelanggaran yang menyalahi peraturan.

“Dengan kekuatan anggota dan pegawai daripada kedua-dua agensi, pemeriksaan telah dijalankan secara menyeluruh di setiap premis yang dikenal pasti,” katanya.

Menurut beliau, semakan turut dilakukan ke atas dokumen perjalanan, pas dan permit yang dimiliki oleh individu yang berada di lokasi bagi memastikan mereka berada dan menjalankan aktiviti di Malaysia mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan.

Seorang lelaki warga asing ditahan pihak imigresen sebelum dibawa ke Depot Imigresen Setia Tropika, Johor Bahru

JIM Johor menyeru orang ramai agar terus menyalurkan maklumat berhubung aktiviti warga asing yang disyaki melanggar undang-undang imigresen.

Tambahnya, kerjasama masyarakat amat penting dalam memastikan keselamatan, ketenteraman awam serta kedaulatan negara sentiasa terpelihara.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast