KUALA LUMPUR – Usahawan dan pempengaruh terkenal, Khairul Aming menyerahkan sepenuhnya kepada pasukan peguamnya susulan insiden kebocoran data peribadi yang melibatkan maklumat akaun telefon bimbitnya.
Khairul Aming atau nama sebenarnya Khairul Amin Kamarulzaman turut meluahkan rasa sedih dan bimbang terhadap keselamatan data peribadi apabila privasi hidupnya didakwa boleh diakses dengan begitu mudah.
“Peguam-peguam saya akan take over kes ini sehingga selesai. Sejujurnya rasa sedih dan seram sebab semudah itu sahaja privasi hidup boleh hilang.
“Details telefon, payment history, subscription, sampai ke nombor IC boleh akses MySara, semuanya bocor,” katanya menerusi satu hantaran di platform Threads hari ini.
Mengulas mengenai tindakan yang diambil, Khairul Aming mengesahkan Surat Tuntutan (LOD) telah pun dihantar oleh peguamnya kepada syarikat telekomunikasi Maxis.
Selain itu, laporan rasmi telah difailkan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP).
Bagi melengkapkan tindakan undang-undang, satu laporan polis turut dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk membolehkan siasatan dibuka ke atas pelaku.
Terdahulu, pihak Maxis memaklumkan telah mengambil maklum mengenai isu berkenaan dan mengesahkan berjaya mengenal pasti individu yang disyaki bertanggungjawab.
Syarikat telekomunikasi itu juga menegaskan tindakan tegas di peringkat dalaman serta tindakan undang-undang sedang diambil berhubung pencerobohan akses berkenaan. – MalaysiaGazette
















