Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Program Santai Petang Warga Ampangan sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 di Medan Selera Benteng Ampangan, Negeri Sembilan. Foto MOHD ADZLAN, 22 JULAI 2026.

SEREMBAN – Ampangan mempunyai potensi besar menjadi kawasan bandar yang lebih menarik sekiranya pembangunan dilakukan secara terancang dengan memberi perhatian kepada aspek kebersihan, landskap dan ekonomi komuniti.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha penyelenggaraan sungai yang dilakukan kerajaan negeri dengan sokongan Kerajaan Persekutuan mengurangkan risiko banjir.

“Kawasan sepanjang sungai boleh dijadikan lokasi rekreasi dan kawasan ekonomi baharu yang memberi manfaat kepada penduduk.

“Sungai yang bersih, landskap yang cantik serta persekitaran yang terurus akan menarik lebih ramai orang datang ke Ampangan.

“Apabila ramai datang, peniaga kecil dan penjaja juga akan mendapat manfaat,” katanya berucap pada majlis ramah mesra bersama pengundi di Medan Selera Ampangan, di sini, hari ini.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu juga berkata, pembangunan bandar tidak boleh hanya tertumpu kepada pembinaan bangunan semata-mata, sebaliknya perlu meningkatkan kualiti hidup rakyat.

“Kerajaan mahu memastikan pembangunan dilaksanakan secara seimbang dengan mengambil kira aspek alam sekitar, ekonomi dan kesejahteraan komuniti,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast