JOHOR BAHRU – Pelantikan jawatan baharu melibatkan 10 Timbalan Exco Kerajaan Negeri Johor disifatkan sebagai pembaziran wang rakyat.
Presiden Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Amira Aisya Abd Aziz berkata, peruntukan untuk Timbalan Exco terbabit sepatutnya digunakan untuk tujuan kemudahan dan infrastruktur.
“Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz baru umumkan 10 Timbalan Exco yang dilantik untuk kononnya menyokong kerja-kerja kerajaan negeri Barisan Nasional (BN).
“Ini satu pembaziran duit rakyat oleh YAB Menteri Besar yang menggunakan duit rakyat Johor dalam pembahagian ghanimah politik.
“Duit yang sepatutnya digunakan untuk pembangunan infrastruktur dan kebajikan Bangsa Johor, sebaliknya digunakan untuk membayar gaji dan pencen barisan Exco dan Timbalan Exco,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau mendakwa, sudah 10 jawatan Timbalan Exco dan diberikan selepas ini ditambah pula lagi dengan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lantikan yang akan menyokong BN membuta tuli.
Jelasnya, langkah itu bukan dasar perkukuhkan pentadbiran negeri sebaliknya hanya dasar untuk perkukuhkan BN menggunakan duit Bangsa Johor.
Hari ini Onn Hafiz mengumumkan jawatan Timbalan Exco yang akan disandang 10 ADUN yan didakwa bagi menambah kecekapan pentadbiran kerajaan negeri.- MalaysiaGazette
















