KUALA LUMPUR – Anak Datuk Seri Najib Razak, Nooryana Najwa sebak dan tidak mampu menahan kesedihan pada tarikh 23 Julai setiap tahun yang merupakan hari ulang tahun bapanya.
Nooryana yang mesra dipanggil Yana berkata, beliau mendoakan bekas Perdana Menteri yang sedang menjalani hukuman di Penjara Kajang supaya dikurniakan kesihatan dan dilindungi Allah SWT.
Menurut anak perempuan Datin Seri Rosmah Mansor itu, bapanya yang kini berusia 73 tahun, banyak mengajarnya erti sebenar ketabahan meskipun bekas Ahli Parlimen Pekan itu berdepan ujian hebat.
Menurut Nooryana, bekas perdana menteri itu seorang yang pemurah, positif dan kuat semangat meskipun akan menjalani prosedur perubatan berkaitan jantung.
“Keimanannya tidak pernah goyah. Sesungguhnya bersama kesabaran, akan datanglah kekuatan.
“Saya sentiasa menjadi penyokong terbesar Daddy. Kami semua akan terus memberikan semangat dan tidak pernah putus harapan yang satu hari nanti kita bakal dipertemukan semula dengan penuh kasih sayang, gelak tawa dan momen berharga untuk dinikmati bersama.
“Selamat hari lahir Daddy. Kami menyayangi Daddy selama-lamanya,” katanya menerusi hantaran di Instagram (IG), hari ini.
Sabtu lalu, media melaporkan, Najib dijadual menjalani satu prosedur perubatan bagi membuang plak yang dikesan berhampiran saluran darahnya. – MalaysiaGazette
















