Abdul Halim Aman

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah memulakan siasatan rasmi berhubung pelaburan Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dalam syarikat eFishery Pte Ltd yang membangunkan teknologi alat pemberi makan ikan dan udang pintar dikenali sebagai Smart Feeder.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Datuk Seri Abdul Halim Aman berkata, bagi tujuan itu, satu pasukan khas telah ditubuhkan dan diketuai Pengarah Kanan Bahagian Siasatan, dengan keanggotaan pegawai kanan daripada Bahagian Siasatan, Bahagian Perundangan dan Pendakwaan serta Bahagian Penyiasatan Tatakelola.

Menurutnya, siasatan rasmi bermula pada 17 Julai lalu sebelum pegawai penyiasat memasuki premis KWAP pada 20 Julai bagi memulakan proses siasatan dan mendapatkan dokumen berkaitan.

“Fokus siasatan SPRM adalah menyeluruh, meliputi elemen rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, selain meneliti aspek tatakelola termasuk prosedur kewangan, perundangan serta proses membuat keputusan berkaitan pelaburan KWAP dalam eFishery,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, rakaman percakapan saksi bermula pada 21 Julai dan sehingga 22 Julai, seramai 10 saksi terdiri daripada pegawai kanan KWAP dan Kementerian Kewangan (MOF) yang terlibat dalam proses membuat keputusan telah dipanggil membantu siasatan.

Katanya, kesemua rakaman percakapan itu telah dimuktamadkan dan kini berada pada peringkat awal penelitian oleh pegawai penyiasat bersama dokumen yang dirampas atau diperoleh.

“SPRM juga akan melaksanakan jejak aliran kewangan melalui analisis transaksi berkaitan, termasuk Laporan Transaksi Tunai (CTR) dan Laporan Transaksi Mencurigakan (STR),” katanya.

Beliau berkata, lebih ramai individu dijangka dipanggil bagi membantu siasatan termasuk ahli Jawatankuasa Kewangan serta semua ahli Panel Pelaburan KWAP yang terlibat dalam membuat keputusan pelaburan berkenaan.

Antara dokumen yang sedang diteliti ialah Kertas Cadangan Awal, Kertas Cadangan Akhir, laporan lawatan tapak, minit mesyuarat berkaitan eFishery, laporan ketekunan wajar (due diligence), dokumen tatacara pelaburan serta dokumen kewangan KWAP.

Menurutnya, memandangkan siasatan masih di peringkat awal, adalah terlalu awal untuk SPRM membuat sebarang rumusan atau memberikan maklum balas lanjut mengenai kes berkenaan.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, beberapa pihak di luar negara telah dikenal pasti bagi membantu siasatan, justeru SPRM akan mengemukakan permohonan Mutual Legal Assistance in Criminal Matters (MACMA) melalui Jabatan Peguam Negara kepada pihak berkuasa asing bagi mendapatkan keterangan saksi yang berkaitan.

Beliau turut memohon semua pihak memberi ruang kepada SPRM untuk menjalankan siasatan secara menyeluruh, telus dan adil.

“Saya telah mengarahkan pasukan siasatan supaya meneliti setiap aspek kes ini secara terperinci dan memastikan tiada sebarang bukti terlepas pandang dalam usaha mendapatkan fakta sebenar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast