KUANTAN – Sebuah kereta jenis Toyota Camry musnah dalam kebakaran di Plaza Tol Genting Highlands (Genting Highlands Entry) Bentong, namun dua wanita yang berada dalam kenderaan itu dilaporkan sempat menyelamatkan diri.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, kejadian berlaku kira-kira pukul 8.20 malam semalam ketika pemandu wanita tempatan berusia 49 tahun itu dalam perjalanan dari Kuala Lumpur menuju ke Genting Highlands.
“Sebaik tiba di lorong tol berkenaan, pemandu terdengar bunyi letupan sebelum mendapati api keluar dari bahagian bonet hadapan kenderaan.
“Pemandu bersama seorang rakan wanita kemudian segera keluar dari kenderaan untuk menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Zaiham, orang awam yang berada di lokasi turut membantu memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api, namun api terus merebak sehingga menyebabkan keseluruhan kenderaan terbakar.
Beliau berkata, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang tiba di lokasi berjaya memadamkan kebakaran tersebut.
“Tiada kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu dan pemandu telah membuat laporan polis bagi tujuan rujukan pihak insurans,” katanya.
Mengulas lanjut, Zaiham menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian berkenaan memandangkan punca kebakaran serta jumlah kerugian masih dalam siasatan polis. – MalaysiaGazette
















