KUALA LUMPUR – Datuk Seri Najib Tun Razak mahukan anaknya, Datuk Mohamad Nizar Najib terus menumpahkan taat dan setia kepada Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Pada masa yang sama, bekas Perdana Menteri itu mahukan Mohamad Nizar terus membantu Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail mentadbir Pahang.
“Teruskan usaha dan khidmat. Pastikan terus taat dan setia kepada Tuanku. Bantu MB jaga Pahang,” pesan Najib menerusi ruangan komen di hantaran facebook Mohamad Nizar hari ini.
Mohamad Nizar yang membalas komen bapanya itu berjanji akan berusaha dan berkhidmat sebaik mungkin.
“InshaAllah Ayahnada.. Akan berusaha dan berkhidmat sebaik mungkin,” katanya.
Mohamad Nizar dalam postingnya itu mengucapkan selamat hari lahir yang ke-73 kepada bapanya.
“Tahun ni masuk tahun keempat tidak bebas raikan bersama dengan keluarga.
“Ayahanda sentiasa tabah, tenteram dan sabar dalam hadapi masalah. Malah banyak kali dilihat dengan senyuman tenang hadapi segala bentuk ujian.

“Semoga sentiasa sihat, tabah dan istiqamah menghadapi ujian. Kami yakin kebenaran akan muncul akhirnya dan sentiasa menanti kepulangan Ayah ke pangkuan keluarga.
“Selamat Hari Lahir ke 73,” katanya.
Terdahulu pentadbir akaun facebook Najib memuat naik hantaran menyucapkan terima kasih kepada orang ramai yang mendoa dan mengucapkan Selamat Hari Lahir kepadanya hari ini.
“Terima kasih guys atas doa dan ucapan hari lahir.
“Sangat terharu masih ada yang ingat.
“Semoga kita sentiasa dalam lindunganNya, segala doa yang baik dimakbulkan, dimurahkan rezeki dan dikurniakan kesihatan baik,” katanya dalam hantaran hari ini yang menerima hampir 29,000 tanda suka dan 3,400 komen.
Sementara itu Wan Rosdy turut memuat naik hantaran mengucapkan selamat ulang tahun kelahiran kepada Najib.
“Semoga Allah SWT mengurniakan Dato’ Sri dengan kesihatan yang baik, umur yang diberkati serta sentiasa terus kuat dan tabah dalam menghadapi setiap ujian,” katanya.
















