Tangkap layar video yang tular memaparkan seorang lelaki berkelakuan pelik dan tidak waras di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas, Tangkak, kelmarin.

TANGKAK – Lelaki yang tular dalam satu rakaman video menunjukkan dirinya  berkelakuan pelik dan tidak waras di sebuah stesen minyak di Jalan Payamas di sini kelmarin mempunyai masalah mental.

Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak mengesan video dimuat naik dalam media sosial itu yang mengundang pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintendan Roslan Mohd Talib berkata, siasatan mendapati lelaki berkenaan mempunyai masalah kesihatan dan masih menerima rawatan di hospital.

“Ahli keluarga mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Tangkak kelmarin bagi menafikan pelbagai andaian dan spekulasi yang tidak benar berkaitan kejadian tersebut.

“Siasatan turut mendapati mangsa yang berusia 30-an mempunyai kad Orang Kelainan Upaya (OKU) serta masih mempunyai rekod rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah di Muar,” katanya dalam satu kenyataan.

Susulan itu beliau menasihatkan orang supaya tidak membuat sebarang spekulasi atau menyebarkan maklumat yang tidak sahih berhubung insiden berkenaan.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian melibatkan keselamatan atau ketenteraman awam boleh menghubungi Bilik Gerakan IPD Tangkak 06-978 5222 atau mana-mana balai polis berhampiran.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast