Mas Imran menyampaikan sumbangan kepada keluarga Laila Annisa di PPR Desa Mutiara, Johor Bahru hari ini

JOHOR BAHRU – Seorang kanak-kanak perempuan yang terjatuh dari bangunan flat Program Perumahan Rakyat (PPR) Desa Mutiara di sini pada Mac lalu, kini menderita masalah penglihatan.

Bapa kanak-kanak tersebut, Mohd Khairul Nizam Ali, 48, mendakwa, keadaan Laila Annisa Aulia yang berusia sembilan tahun itu kesan daripada tragedi tersebut.

“Sehingga kini Laila Annisa Aulia masih tidak dapat bersekolah kerana menderita masalah penglihatan berganda kesan daripada jatuh dari bangunan flat ini.

“Anak saya yang mengalami kecederaan di bahagian kepala turut dipantau setiap masa berikutan kerap mengalami sakit kepala,” katanya.

Dia berkata demikian kepada pemberita selepas menerima kunjungan dan sumbangan disampaikan oleh Pengurus Besar Pasaraya Econsave, Mas Imran Adam di rumahnya hari ini.

Keluarga berkenaan menerima sumbangan barangan dapur bernilai RM1,000 daripada Pasaraya Econsave Cash And Carry Cawangan Taman Daya.

Pada 22 Mac lalu, portal ini melaporkan kejadian Laila Annisa terjatuh dari tingkat dua flat tersebut sehingga mengalami kecederaan kritikal.

Susulan itu kerajaan negeri memperuntukkan RM3 juta bagi menukar semua jeriji penghadang di PPR Desa Mutiara yang berusia 15 tahun.

Mengulas lanjut, Mohd Khairul berkata, perkembangan kesihatan anaknya itu semakin positif sedikit apabila daya ingatannya kembali pulih namun kadang-kala mengadu sakit kepala.

“Malah masalah penglihatannya juga berganda dan setiap bulan perlu menjalani pemeriksaan susulan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Doktor tidak menjamin penyembuhan mahupun tempoh penyembuhan kerana ia bergantung kepada keadaan Laila Annisa Aulia,” katanya.

Dia memberitahu, pada masa ini Laila Annisa sudah menjalani pembedahan di kepala dan doktor tidak mencadangkan keperluan untuk menjalani pembedahan susulan.

Menurutnya, Laila Annisa rindu kembali ke sekolah namun atas faktor masalah kesihatan dialami, keluarganya terpaksa menangguh permintaannya.

Ini demi keselamatan anaknya namun dia membantu Laila Annisa untuk mengulangkaji pelajaran di rumah.

“Saya terpaksa bercuti selama beberapa bulan bagi memberi tumpuan penuh kepadanya namun terpaksa kembali bekerja bagi menyara keluarga.

“Saya dan isteri masing-masing bekerja kilang. Ketika saya serta isteri keluar bekerja, kami terpaksa mengupah jiran untuk menjaganya,” katanya.

Mengimbas detik yang mencemaskan itu, dia berkata, kejadian berlaku pada 2 Syawal semasa dia dan ahli keluarga pulang ke rumah di flat itu selepas beraya.

Selepas tiba di parkir kereta pada pukul 11 malam, Laila Annisa bergerak ke tingkat dua bagi menyaksikan bunga api dan secara tiba-tiba dia terjatuh apabila jeriji penghadang besi tumbang.

Selain kecederaan di bahagian kepala katanya, Laila Annisa juga patah tangan kanan selain mengalami kecederaan di bahagian wajah berikutan dihempap besi jeriji penghadang.- MalaysiaGazette

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast