JEMPOL – Kerajaan menafikan dakwaan Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) mungkin diadakan lebih awal seperti dinyatakan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan.
Menteri Komunikasi, Datuk Ser Fahmi Fadzil sebaliknya menegaskan, kenyataan Mohamad atau dikenali Tok Mat itu hanyalah pandangan peribadi beliau dan tidak pernah dibincangkan di peringkat kerajaan.
“Kita tidak ada bincang apa-apa dan PRU boleh diadakan selewat-lewatnya hujung tahun depan. Fokus pentadbiran sekarang ini sebenarnya seperti yang Perdana Menteri telah sebutkan, bukan politik berpanjangan, bukan pilihan raya berpanjangan.
“Tetapi adalah untuk mengatasi masalah-masalah ekonomi akibat daripada konflik di Asia Barat jadi fokus Perdana Menteri adalah ke arah kestabilan dan menyelesaikan isu-isu ekonomi bukan pilihan raya umum,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri program wayang pacak di Taman Saujana Rompin, Bahau di sini malam ini.
Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Mohamad yang menjangkakan PRU16 mungkin diadakan seawal hujung tahun ini.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan, kenyataan Timbalan Presiden UMNO itu tidak mewakili pendirian kerajaan mahupun Perdana Menteri.
“Saya lihat itu adalah sekadar pandangan Datuk Seri Mohamad Hasan, pandangan peribadi beliau (kerana) langsung tidak ada (perbincangan persediaan PRU-16)
“Malah kalau ditanya Perdana Menteri juga secara terbuka telah menyatakan pilihan raya umum tidak akan diadakan sekarang, mungkin akan diadakan pada tahun hadapan,” katanya. – MalaysiaGazette
















