KUALA LUMPUR – Istana Negeri Sembilan menegaskan Institusi Diraja kekal berkecuali dan tidak terlibat dengan mana-mana parti atau kegiatan politik, sekali gus menafikan sebarang dakwaan yang cuba mengaitkan pihak istana dengan parti tertentu.
Dalam kenyataan media hari ini, Istana Negeri Sembilan turut menasihatkan parti-parti politik supaya tidak mengaitkan istana dalam ceramah dan kempen sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Pengelola Bijaya Diraja Istana Negeri Sembilan, Institusi Raja merupakan payung perpaduan rakyat yang berperanan memelihara keharmonian, kestabilan serta kesejahteraan negara.
Sehubungan itu, Institusi Diraja sentiasa menjunjung prinsip berkecuali dan tidak berpihak kepada mana-mana parti politik.
Istana turut menegaskan sebarang dakwaan, kenyataan, gambar, video atau bahan yang mengaitkan Istana Negeri Sembilan, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Tuanku atau mana-mana ahli kerabat Diraja dengan mana-mana parti politik adalah tidak benar.
Dalam pada itu, Istana Negeri Sembilan mengingatkan semua calon yang bertanding dalam PRN ke-16 supaya tidak memainkan isu berkaitan 3R iaitu kaum, agama dan institusi diraja sepanjang tempoh berkempen.
Calon juga dinasihatkan supaya menjalankan kempen secara berhemah dan beretika serta mematuhi undang-undang demi memastikan keharmonian negeri terus terpelihara.
“Istana Negeri Sembilan menghargai kerjasama semua pihak dalam memastikan Institusi Diraja terus dihormati dan dipelihara daripada sebarang salah tafsir atau eksploitasi bagi kepentingan mana-mana pihak,” menurut kenyataan itu.
Orang ramai turut dinasihatkan supaya tidak menyebarkan atau mempercayai maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk saluran rasmi Istana Negeri Sembilan bagi mendapatkan maklumat sahih.
Kenyataan itu dibuat ketika kempen PRN Negeri Sembilan sedang berlangsung dan isu berkaitan institusi diraja menjadi antara perkara yang mendapat perhatian sepanjang kempen. PRN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung pada 1 Ogos ini. – MG
















