CYBERJAYA – Usaha melakar kerangka baharu negara menerusi agenda kecerdasan buatan (AI) memerlukan komitmen menyeluruh daripada semua pihak termasuk kepimpinan tertinggi dan penjawat awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tentangan terhadap perubahan tidak hanya datang daripada golongan konservatif atau masyarakat desa sebaliknya sering berpunca daripada golongan elit yang terlalu selesa dengan kaedah lama.
“Selalunya orang mengandaikan yang enggan membawa perubahan itu golongan konservatif atau desa. Mungkin pada lahirnya begitu tetapi tidak semestinya.
“Kalangan yang dianggap elit itu, kalau mereka rasa kehadiran AI ini mencabar kebiasaan, itu adalah kerana mahu menghindar perubahan.
“Mereka selesa dengan kaedah lama dan tidak rasa mencabar untuk melakukan kejayaan,” katanya ketika menyampaikan ucapan pada majlis peluncuran AI Malaysia di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Digital, Gobind Singh Deo, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata, Kementerian Digital kini memikul tanggungjawab besar untuk memastikan peralihan ini tidak mewujudkan kesenjangan atau jurang pengurusan yang lebar antara kawasan bandar dan luar bandar.
“Bagi memastikan agenda AI Malaysia tidak sekadar menguntungkan jabatan kerajaan dan golongan elit semata-mata, saya menekankan kepentingan democratization of access (pendemokrasian akses) kepada seluruh rakyat.
“Prinsip digitalisasi mewajibkan kita merentasi seluruh jabatan dan agensi. Kalau AI Nation ini hanya untuk jabatan kerajaan tetapi bukan untuk rakyat, itu salah.
“AI mesti menembusi seluruh sistem dan memberi manfaat terus kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pemodenan teknologi tidak wajar mengorbankan nilai, etika dan jati diri bangsa.
“Kita seolah-olah menggapai di langit dengan teknologi baharu dan kecanggihan AI tetapi kita tidak mahu terhakis agama, budaya dan moral.
“Jadi, kita harus mengakar ke bumi supaya tidak hilang jati diri, akhlak dan etika,” ujarnya lagi.
Sementara itu, Anwar juga turut menyeru sektor akademik dan industri untuk bersinergi bagi merapatkan jurang Kemahiran selain mendesak agar kerangka etika AI yang bertanggungjawab terus diperkukuh di peringkat antarabangsa.
“Malaysia mampu menjadi AI Malaysia jika kita kekal fokus dan tidak diheret oleh isu-isu luar yang tidak memberi nilai tambah kepada ekonomi, digital mahupun pembangunan negara,” katanya. – MalaysiaGazette
















