Gambar hiasan

JOHOR BAHRU – Selepas hampir tiga tahun siasatan dijalankan, polis akhirnya mengklasifikasikan semula kes kematian seorang kanak-kanak lelaki berusia 18 bulan sebagai kes bunuh dengan bapa kandung mangsa dikenal pasti sebagai suspek utama.

Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, laporan berhubung kes itu diterima daripada seorang doktor yang bertugas di Jabatan Kecemasan Hospital Sultan Ismail (HSI) di sini pada 13 September 2023.

Menurut beliau, mangsa dibawa ke hospital oleh bapanya yang berusia 40 tahun dalam keadaan tidak sedarkan diri sebelum pemeriksaan mendapati terdapat kesan lebam pada bahagian pinggang, perut menggelembung serta bengkak pada bahagian dubur.

“Mangsa disahkan meninggal dunia pada pukul 10.40 pagi pada hari yang sama. Pada peringkat awal, kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana disyaki berlaku pengabaian sehingga menyebabkan kematian,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.

Ab Rahaman berkata, sepanjang siasatan dijalankan, polis memanggil 13 individu termasuk ahli keluarga terdekat dan keluarga pengasuh mangsa bagi membantu siasatan selain mengambil sampel darah untuk ujian asid deoksiribonukleik (DNA).

Bagaimanapun analisis Jabatan Kimia gagal mengenal pasti suspek kerana kesan cecair yang dipercayai air mani ditemui pada bahagian dubur mangsa tidak mencukupi untuk dianalisis dan dibuat perbandingan.

“Siasatan diteruskan sehingga membawa kepada penahanan bapa kandung mangsa berusia 40 tahun dan bapa saudaranya berusia 35 tahun pada 18 serta 22 Julai lalu.

“Semakan mendapati bapa kandung mangsa yang bekerja sebagai buruh di Singapura tidak mempunyai rekod jenayah lampau manakala bapa saudara mangsa mempunyai 13 rekod jenayah dan dadah serta didapati positif ganja menerusi ujian saringan air kencing,” katanya.

Beliau berkata, penemuan terbaharu kes itu tidak menolak kemungkinan mangsa diliwat oleh bapa kandungnya namun perkara itu masih dalam siasatan.

Hasil pemeriksaan terhadap telefon bimbit milik bapa kandung mangsa turut menemukan gambar dan video lucah.

Katanya, susulan perkembangan terbaharu siasatan, kes itu diklasifikasikan semula mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki bahan lucah.

“Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Johor Bahru esok bagi kedua-dua pertuduhan berkenaan manakala bapa saudara mangsa yang dibebaskan akan menjadi saksi pendakwaan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast