KUALA LUMPUR – Datuk Teng Chang Khim perlu membuat permohonan maaf secara terbuka susulan kenyataannya mengenai istilah “Tanah Melayu” yang mencetuskan kontroversi dan mengundang pelbagai reaksi daripada pelbagai pihak.
Penganalisis politik, Dr. Mohammad Tawfik Yaakub berkata, kenyataan veteran DAP itu perlu ditangani dengan penuh berhati-hati memandangkan ia menyentuh sensitiviti sejarah, Perlembagaan Persekutuan serta hubungan antara kaum di negara ini.
Menurut beliau, sebagai seorang ahli politik berpengalaman, setiap kenyataan yang dikeluarkan perlu mengambil kira kesan dan penerimaan masyarakat.
“Sebagai seorang ahli politik yang senior, kenyataan sedemikian sewajarnya mengambil kira kesan terhadap masyarakat.
“Walaupun mungkin terdapat konteks tertentu yang ingin dijelaskan, masa dan pendekatan yang digunakan dilihat kurang tepat,” katanya ketika dihubungi MalaysiaGazette hari ini.
Mohammad Tawfik berkata, langkah terbaik bagi meredakan polemik yang tercetus adalah dengan Chang Khim tampil memberikan penjelasan dan memohon maaf sekiranya kenyataannya telah menyinggung perasaan mana-mana pihak.
Beliau turut mengingatkan semua pihak agar tidak memanipulasi isu berkenaan untuk kepentingan politik, khususnya dalam suasana semasa yang memerlukan kestabilan dan perpaduan nasional.
“Perkara yang menyentuh sejarah dan identiti negara perlu dibincangkan secara matang. Jangan sampai ia digunakan sebagai modal politik sehingga menjejaskan keharmonian masyarakat majmuk yang telah lama dibina,” ujarnya.
Semalam, Chang Khim dilaporkan mengeluarkan kenyataan bahawa istilah “Tanah Melayu” telah berakhir selepas berkuat kuasanya Perlembagaan Persekutuan, sebagai respons terhadap kenyataan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor.
Kenyataan itu bagaimanapun menerima kritikan daripada pelbagai pihak termasuk pemimpin politik dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyifatkannya sebagai tidak sensitif terhadap sejarah negara.
Mengulas lanjut, Mohammad Tawfik menegaskan, sebarang perbezaan pandangan berhubung isu berkaitan sejarah dan Perlembagaan perlu diselesaikan menerusi wacana ilmiah serta saluran yang mampu mengukuhkan perpaduan rakyat, bukannya menimbulkan perpecahan. – MalaysiaGazette
















